Khamis, 20 Februari 2020 | 10:12am
Siti Nurhaliza meminta peminat membuat laporan jika ada individu memuat naik single 7 Nasihat yang dilancarkan tengah malam tadi, di laman YouTube peribadi. Foto NSTP/Aziah Azmee
Siti Nurhaliza meminta peminat membuat laporan jika ada individu memuat naik single 7 Nasihat yang dilancarkan tengah malam tadi, di laman YouTube peribadi. Foto NSTP/Aziah Azmee

'Tolong padamkan sekarang!'

KUALA LUMPUR: Baru dilancarkan tengah malam tadi, single Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul 7 Nasihat didakwa dimuat naik beberapa individu di laman YouTube peribadi mereka.

Perkara itu pantas menarik perhatian Siti yang memuat naik entri di Instagram meminta perbuatan seumpama itu dihentikan.

“Dukacita, sudah banyak yang memuat naik dan meletakkan lagu 7 Nasihat dalam YouTube masing-masing.

“Saya mohon agar anda menghormati hak cipta dan karya insan seni.

“Syarikat saya, Siti Nurhaliza Productions (SNP) dan Universal Music akan segera memantau hal ini,” katanya.

Memilih tarikh ‘cantik’ hari ini, Siti melancarkan single baharu sentuhan duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta berjudul 7 Nasihat.

Menggabungkan irama hip hop dan tradisional, lagu itu turut menampilkan pasangan duo terbabit, yang sebelum ini bekerjasama dengan ‘sifu muzik’, Datuk M Nasir melalui single Zuhud.

Siti meminta individu yang memuat naik lagu berkenaan di laman YouTube peribadi agar memadamkannya, sebelum laporan dibuat untuk tindakan lanjut.

“Bantu saya dan laporkan akaun YouTube berkenaan ya? Terima kasih,” katanya.

Difahamkan, single baharu ini adalah bingkisan awal sebelum album penuh penyanyi nombor satu negara ini dilancarkan pada 1 April depan.

Single terbitan Siti Nurhaliza Productions (SNP) dengan kerjasama Universal Music Malaysia boleh didapati di semua pelantar digital, sejak tengah malam tadi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X