Selasa, 18 Februari 2020 | 1:00pm
Lisa teruja kembali ke TV melalui drama arahan suami, Yusry. Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Lisa teruja kembali ke TV melalui drama arahan suami, Yusry. Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Lisa masih gementar dengan Yusry

KUALA LUMPUR: Umpama mengulangi detik berlakon filem diarah suami, Lisa Surihani kembali ke set penggambaran drama dengan si dia.

Melalui entri di Instagram, isteri Yusry Abdul Halim ini berkongsi perkembangan terbaru menjalani penggambaran drama yang belum diberi judul, di bawah arahan suaminya itu.

Memberitahu BH Online, Lisa mengaku gementar dan cuba meletakkan dirinya sama seperti pelakon lain.

“Rasa gementar ibarat dua kali ganda daripada biasa. Ini sama seperti yang saya rasa ketika menjalani penggambaran filem Cicakman 3 yang diarah suami.

“Saya sudah lama tidak muncul di televisyen (TV). Kali terakhir adalah melalui drama Jibril, kira-kira tiga tahun lalu.

“Apatah lagi, ini tawaran pada minit terakhir kerana pelakon asal tidak dapat memberi komitmen,” katanya.

Pada 2015, Lisa muncul dalam filem Cicakman 3 arahan Yusry.

Memikirkan suami sangat komited dengan kerja, Lisa mencabar diri dan enggan terus berada di zon selesa.

“Saya guna dua ‘topi’ iaitu sebagai isteri dan pelakon. Saya pandang tinggi kepada suami dengan pengalaman dan kerja seni yang ditunjukkan selama ini.

“Malah, di set penggambaran, suami memanggil saya dengan nama watak. Ini meletakkan tahap profesionalisme pada tangga teratas.

“Setiap kali bekerjasama, kami tidak suka membawa pulang hal berkaitan kerja ke rumah. Selalunya, kami berbincang ketika dalam perjalanan pergi atau pulang ke set penggambaran,” katanya.

Apa yang menarik dalam drama yang sedang dibikin ini, Lisa sekali lagi berganding dengan Farid Kamil. Kali terakhir mereka bekerjasama adalah dalam filem Lagenda Budak Setan pada 2010.

Tambah Lisa, drama itu dijangka disiarkan slot Megadrama Astro pada 23 Mac depan.

“Kalau betul jangkaan siaran itu, ia akan jatuh pada sambutan hari jadi saya yang ke-33. Ini ibarat hadiah bermakna buat saya,” katanya.

Drama 16 episod terbitan Suhan Movies milik Datuk Rosyam Nor ini belum diberi judul. Naskhah ini diadaptasi daripada novel Pelindung Seorang Isteri tulisan Mia Kiff.

Berita Harian X