Ahad, 16 Februari 2020 | 1:00pm
Aprena tidak akan melupakan kenangan membintangi filem Jodoh Syaitan bersama arwah Abam sampai bila-bila. Foto Ihsan Aprena Manrose
Aprena tidak akan melupakan kenangan membintangi filem Jodoh Syaitan bersama arwah Abam sampai bila-bila. Foto Ihsan Aprena Manrose

'Baru jumpa tapi macam dah kenal lama'

KUALA LUMPUR: Ada cerita di sebalik entri mengingati Allahyarham Abam yang dimuat naik pelakon, Aprena Manrose di Instagram (IG), baru-baru ini.

Biarpun hanya sekali berganding dengan Abam dalam filem Jodoh Syaitan yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, kenangan bersama arwah tidak akan dilupakan Aprena, sampai bila-bila.

“Sebelum ini, saya pernah terlepas pandang dan hanya berkongsi foto bersama Abam di IG Story, bukannya paparan utama atau feed.

“Tidak lama kemudian, arwah menghantar mesej langsung di IG dan berseloroh, mengapa hanya dikongsi gambar terbabit di IG Story.

“Maaf Abam... Kali ini saya kongsi foto kita berdua di feed, bukan IG Story,” katanya kepada BH Online.

Isnin lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Abam dalam tidur, di kediamannya di Gombak, kira-kira jam 7 pagi.

Aprena yang juga adik kepada Oktovia Manrose berkata, dia hanya mengenali Abam dengan lebih rapat ketika terbabit dalam penggambaran filem Jodoh Syaitan arahan Ismail Bob Hasim, kira-kira tiga tahun lalu.

“Arwah melayan saya seperti sudah kenal lama. Beliau cukup tebal dengan sifat mulia dan penyayang.

“Saya suka kumpulan lawak, Bocey tapi hanya kenal arwah ketika berlakon filem itu,” katanya.

Aprena berkata, dia teruja menjayakan siri promosi filem bersama pelakon lain termasuk arwah.

“Namun, sehari sebelum sesi fotografi bagi mempromosikan filem berkenaan, Abam sudah tiada,” katanya yang teringat pernah berjanji untuk ‘mengahwinkan’ kucing peliharaan masing-masing namun tak kesampaian.

Aprena berkata, ramai teman artis berkongsi kenangan dengan Abam, sekali gus menunjukkan beliau disayangi ramai.

“Selepas pemergian arwah, ramai yang meratap dan bercerita mengenai kebaikannya,” katanya.

Filem seram komedi, Jodoh Syaitan terbitan produksi Da Motion Media akan ditayangkan mulai 5 Mac depan.

Selain arwah Abam dan Aprena, filem itu dibintangi Soffi Jikan, Jay Iswazir, Kamarool Yusoff dan Fauziah Nawi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X