Jumaat, 7 Februari 2020 | 8:30am
Penyanyi, Datuk Hattan menyokong kerjaya nyanyian anak tunggalnya, Adam E biarpun haluan muzik berbeza. NSTP/Eizairi Shamsudin
Penyanyi, Datuk Hattan menyokong kerjaya nyanyian anak tunggalnya, Adam E biarpun haluan muzik berbeza. NSTP/Eizairi Shamsudin

Adam E bayar guna khidmat bapa

KUALA LUMPUR: Penyanyi otai, Datuk Hattan melihat anaknya yang juga penyanyi remaja, Adam E tidak menggunakan kesempatan atas pertalian darah dengannya.

Sebaliknya, penyanyi Memburu Rindu itu dibayar untuk berkolaborasi dengan anak tunggalnya itu menerusi lagu Budak Kampung.

Hattan berkata, kolaborasi bersama Adam diuruskan secara profesional, selain Adam menyediakan bayaran untuk mendapatkan khidmatnya.

“Adam sangat profesional ketika bekerja. Walaupun saya bapanya tetapi dia tidak pernah mengambil kesempatan. Untuk projek ini, saya tidak bekerja secara percuma, sebaliknya dibayar.

“Orang nak bayar, saya terima sahaja. Begitupun, saya kagum dengan semangat dan kesungguhan Adam dalam dunia penciptaan lagu.

“Saya jadi tertarik apabila pertama kali mendengar lagu ciptaannya yang berentak hip hop. Justeru, apabila dipelawa untuk berduet dengannya, saya terus bersetuju,” katanya kepada BH Online.

Melihat kesungguhan anaknya itu, pemilik nama lengkap Mohd Shukri Shahabudin itu memberi galakkan walaupun Adam tidak mengikut jejak langkahnya menjadi penyanyi rock.

Cuma tegas Hattan, dia melarang keras anaknya itu menggunakan teknik ‘autotune’ seperti yang sering diamalkan penyanyi golongan Budak Baru Nak Up (BBNU) ketika merakamkan lagu dalam studio.

“Saya sering berpesan pada Adam supaya tidak menggunakan teknologi ‘autotune’. Kalau betul-betul mahu jadi penyanyi, kena berlatih vokal. Jangan ambil mudah.

“Bila mengguna ‘autotune’, orang akan tahu sama ada dia menyanyi ataupun tidak secara tak langsung, nanti memalukan diri sendiri,” tegasnya.

Berita Harian X