Selasa, 4 Februari 2020 | 1:00pm
 Penyanyi dan pelakon, Fattah Amin mempertaruhkan single terbaharu, Bebas. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Penyanyi dan pelakon, Fattah Amin mempertaruhkan single terbaharu, Bebas. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

'Selagi orang suka, saya nyanyilah...'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fattah Amin, 30, tidak menjadi bidang nyanyian sekadar melepaskan batuk di tangga, sebaliknya serius bergelar penyanyi.

“Siapa kata saya main-main menyanyi? Saya serius...

“Cuma, menyanyi bukan seperti berlakon. Lakonan mengambil masa panjang, menyanyi pula rekod lagu dalam masa seminggu boleh siap.

“Peminat kenal saya sebagai pelakon, tetapi jujurnya, saya serius menyanyi. Saya minat menyanyi sejak zaman kolej lagi, siap ada kumpulan sendiri,” katanya kepada BH Online.

Fattah berkata, rezeki dalam dunia lakonan terlebih dahulu dihulurkan buatnya pada 2013.

“Saya merakamkan single pertama, Wanita Terakhir sekadar melepaskan kerinduan menyanyi, tetapi tidak sangka pula menjadi siulan ramai.

“Saya akan meneruskan selagi ada permintaan dan peminat mahu mendengar saya menyanyi. Alhamdulillah, saya tidak putus-putus diundang mengadakan persembahan.

“Bagi saya, saya tidak perlu membuktikan kehebatan, buat sahaja seperti yang diingini. Biar peminat menilai, saya akan terus menghasilkan single baharu jika mereka suka,” katanya.

Bagaimanapun, kata Fattah, kekangan jadual menyebabkan banyak tawaran mengadakan persembahan terpaksa ditolak.

“Saya bukan acuh tak acuh menyanyi, tetapi jadual saya sering bertindih dengan undangan yang diterima.

“Jika ada peluang, takkan saya menolak rezeki? Percayalah, lakonan dan nyanyian menjadi keutamaan saya,” katanya.

Penyanyi lagu Wanita Terakhir dan Wanita Terindah itu berkata, dia kini muncul dengan single terbaharu berjudul Bebas di bawal label Universal Music.

“Lagu dan muzik video Bebas sudah disiapkan. Saya mencurahkan idea, konsep dan isi cerita dalam muzik video ini.

“Insya-Allah, lagu Bebas akan diperdengarkan tidak lama lagi. Lagu Bebas bukan kisah cinta seperti lagu-lagu terdahulu.

“Ia adalah lagu berbentuk inspirasi untuk pendengar. Saya banyak mendapat inspirasi daripada isteri, Nur Fazura,” katanya.

Berita Harian X