Khamis, 2 Januari 2020 | 4:00pm
Pelakon, Remy Ishak, mendakwa tindakan memadam semua gambar di Instagramnya bukan sesuatu yang pelik. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Pelakon, Remy Ishak, mendakwa tindakan memadam semua gambar di Instagramnya bukan sesuatu yang pelik. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Remy padam semua gambar, tak ikut Mira di Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Remy Ishak, 37, menyifatkan tindakannya memadamkan semua gambar di Instagram bukan sesuatu yang pelik.

Namun, saat ditanya mengenai alasan dia tidak lagi mengikuti akaun Instagram milik Mira Filzah, Remy menjelaskan, dia kurang pasti mengenai hal terbabit.

“Bab tak ikuti akaun Instagram Mira itu, saya tak pasti. Nanti saya periksa balik.

“Mungkin ada yang terlepas pandang. Lagipun, sekarang ada pasukan yang menguruskan akaun media sosial saya, termasuk di Instagram,” katanya kepada BH Online.

Remy dan Mira, 26, pernah bergandingan dalam drama popular, Pujaan Hati Kanda dan Lelaki Kiriman Tuhan, selain berlakon bersama dalam filem Rise: Ini Kalilah serta Sangkar.

Populariti diraih drama dan filem terbabit turut mencetuskan gosip kononnya kedua-dua bintang berkenaan mempunyai hubungan mesra. Namun, Mira pernah menafikan wujudnya hubungan istimewa dengan aktor itu.

Remy Ishak dan Mira Filzah ketika sidang media filem lakonan mereka, Sangkar, di Mutiara Damansara, Ogos tahun lalu. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Remy Ishak dan Mira Filzah ketika sidang media filem lakonan mereka, Sangkar, di Mutiara Damansara, Ogos tahun lalu. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Baru-baru ini pula, Mira mendedahkan sedang mengenali hati budi seorang jejaka bukan daripada dunia seni.

Sementara itu, semakan di Instagram pelakon terkenal terbabit sebentar tadi masih memperlihatkan tiada foto terbaru dikongsi Remy.

Bercerita lanjut mengenai tindakan memadamkan semua gambarnya di laman sosial yang diikuti oleh 1.5 juta orang itu, bintang siri Ombak Rindu ini berkata, dia memang sedang melakukan ‘kerja pembersihan’.

“Saya okey. Tiada apa-apa pun sebenarnya. Memang tengah buat kerja pembersihan.

“Memang ada banyak benda yang nak kena ‘clear’. Apatah lagi sekarang pun sudah masuk tahun 2020,” katanya lagi.

Berita Harian X