Ahad, 10 November 2019 | 8:59am
PENYANYI, Sham Visa, akui hampir menarik diri daripada pertandingan Gegar Vaganza musim keenam. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sham hampir tarik diri

SHAH ALAM: Tidak tahan berdepan tekanan membuatkan penyanyi, Sham Visa, hampir menarik diri daripada program Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Sham atau nama sebenarnya Rohisham Hashim, 47, berkata perasaan itu timbul apabila dia berasakan gagal menunjukkan persembahan yang baik, selain harapan tinggi diletakkan banyak pihak ke bahunya.

“Saya tidak menjangkakan seseorang yang menghilang selama 15 tahun dari dunia seni dan langsung tak pernah menyanyi di hadapan anak serta isteri, juga di pusat karaoke, tiba-tiba mendapat perhatian sebegini. Saya juga tidak pernah tahu diri memiliki aura seperti dikatakan kerana saya seorang yang biasa sahaja.

“Tak dinafikan, saya pernah menyuarakan hasrat kepada pihak pengurusan, Mind Order, untuk menarik diri daripada GV6. Namun, mereka memujuk dan meminta saya supaya berfikir masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan.

“Melihat kepercayaan diberikan, selain kerja berpasukan yang diamalkan, ia memberikan saya semangat untuk terus bertanding,” katanya kepada BH Online.

SHAM dan Marsha Milan ketika mengadakan persembahan pada minggu keempat Konsert Gegar Vaganza 6 di Dewan MBSA, Shah Alam. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Mengakui pernah tersasar ketika zaman kegemilangan bergelar artis, penyanyi yang popular dengan lagu Dalam Gerimis dan Untukmu Selamanya ini mengakui bimbang perkara sama berulang jika dia kembali ke bidang seni.

“Saya pernah tersasar dari segi pemikiran, bukannya perilaku, ketika menjadi artis. Apabila saya memutuskan untuk meninggalkan dunia seni dan bekerja di samudera, saya temui ketenangan serta kebebasan.

“Kini, saya kembali semula kepada masyarakat dan jujur diakui, saya agak risau dengan cabaran bakal mendatang. Saya berharap akan terus tabah menghadapinya. Jika tidak, mungkin saya akan kembali ke dunia lautan,” ujarnya yang pernah bekerja di pelantar minyak, sebelum ini.

Pada minggu ini, penyanyi yang mendapat jolokan Tony Stark Malaysia itu akan mendendangkan lagu dipopularkan oleh Afgan berjudul Terima Kasih Cinta.

Berita Harian X