Jumaat, 8 November 2019 | 1:45pm
Penyanyi, Indah Ruhaila, pada sidang media Muzik-Muzik Separuh Akhir 34 di Balai Berita NSTP, Jalan Riong. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Indah gementar nyanyi lagu Amylea

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Indah Ruhaila, akui gementar apabila memikul tanggungjawab besar mempersembahkan lagu, Pudar, pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 34.

Katanya, lagu berkenaan adalah ciptaan sepenuhnya Amylea Azizan dan antara 30 karya layak bersaing merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Dalam keterujaan, saya sebenarnya gementar kerana amanah terpikul di bahu amat besar. Apatah lagi ia lagu pertama yang dicipta sepenuhnya oleh Amylea.

“Pada masa sama, saya bersyukur kerana Pudar mendapat tempat di hati peminat dan ada yang sudi mengundi lagu ini, sejak dipertaruhkan dalam carta Muzik Muzik 34.

“Peringkat separuh akhir yang akan bermula pada 15 November ini juga pastinya sengit kerana ramai penyanyi bervokal mantap turut bersaing,” katanya kepada BH Online.

Indah pernah bergelar finalis AJL, iaitu pada edisi ke-29, menerusi lagu ciptaan Aiman dan Mohd Atlas.

Secara peribadi, isteri kepada Shariff Taufik ini tidak menafikan kekuatan Pudar yang turut menghiasi drama popular, Nur 2, siaran TV3.

“Sejak awal diperkenalkan kepada lagu ini, saya akui ia memang cukup indah dan sedap didengar. Kami amat teruja kita saya merakamkannya, tidak lama dahulu.

“Saya sendiri selesa berkawan dan bekerjasama dengan Amylea. Dia sahabat yang banyak memberikan dorongan dan aura positif,” katanya.

Sementara itu, peserta program Akademi Fantasia 2013 ini turut memaklumkan bakal merakamkan lagu baharu, bulan depan.

“Berkemungkinan besar saya akan terus bekerjasama dengan Amylea atau Farouk Roman. Saya juga akan mengekalkan genre balada, namun ia berbeza dengan Pudar.

“Selain itu, mungkin ada lagi lagu runut bunyi hasil ciptaan mereka akan saya nyanyikan pada masa depan. Lagu ciptaan Amylea dan Farouk memang mendapat perhatian apabila dijadikan runut bunyi,” katanya.

Berita Harian X