Khamis, 7 November 2019 | 11:00am
Esma menyifatkan peluang melakonkan watak Dr Mahathir dalam teater muzikal hampir 10 tahun lalu cukup manis. Foto NSTP Muhammad Sulaiman

Kasi 'chance' pelakon lain

Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pernah menghidupkan watak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di pentas teater, Esma Daniel tidak ralat karakter sama tidak lagi diberi kepadanya dalam projek filem baharu berkisar sejarah hidup negarawan itu.

Ketika melakonkan watak ‘Tun M’ dalam Muzikal Tun Mahathir pada 2010, Esma mencuit hati penonton dengan penghayatan persis Perdana Menteri, apatah lagi wajahnya mirip tokoh disegani itu.

Esma atau nama penuhnya, Esma Daniel Md Isa, 50, berkata kenangan menjayakan teater Muzikal Tun Mahathir bersama Erra Fazira masih terpahat dalam hati.

“Saya percaya ada ketika peluang, rezeki dan uji bakat tidak memihak kepada kita. Itu satu proses yang harus ditelan. Mungkin pihak produksi menganggap saya tak mampu menghidupkan watak sama.

“Semuanya saya ambil positif. Peluang memegang watak Dr Mahathir sebelum ini saya anggap sudah cukup manis dan menjadi kejayaan peribadi terindah,” katanya kepada BH Online.

Teater Muzikal Tun Mahathir dipentaskan di Istana Budaya pada 2010 dan diulangi pada 2011 atas permintaan ramai.

Esma yang sibuk dengan penggambaran dua filem termasuk karya diberi judul Danum, percaya pelakon yang diberi peranan Dr Mahathir cukup cemerlang.

“Mungkin watak itu akan dibawa lebih baik oleh pelakon lain,” katanya yang tular selepas memuat naik foto memaparkan tubuh sasanya di Instagram, baru-baru ini.

Berita Harian X