Rabu, 6 November 2019 | 8:43pm
Penyanyi, komposer dan penulis lirik pada sidang media Muzik Muzik Separuh Akhir 34 di Balai Berita NSTP, Bangsar. - NSTP/Salhani Ibrahim

Bob ganti Siti?

KUALA LUMPUR: “Kebetulan, saya memang sukakan lagu Anta Permana dan sering menyanyikannya dalam mana-mana persembahan, sebelum ini. Peminat pula memetik nama penyanyi asal lagu itu di akaun Instagram. Mungkin dari situ, ramai menyangka saya akan menyanyikan lagu terbabit menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza.”

Demikian ulas penyanyi, Bob Yusof, mengenai desas-desus dirinya bakal menggantikan tempat Siti menyampaikan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu pada peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 (SFMM34) yang akan bermula pada 15 November ini.

Sambil mengakui terkejut dengan spekulasi itu, Bob atau nama lengkapnya Yusrizan Usop bagaimanapun sedia menerima tanggungjawab terbabit jika dirinya terpilih berbuat demikian.

“Kalau benar berita berkenaan, saya bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin,” katanya kepada BH Online.


Penyanyi, Bob Yusof, akui sukakan lagu Anta Permana. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Sementara itu, wakil syarikat rakaman Universal Music, Amir Wahab, memaklumkan pihaknya masih mencari penyanyi sesuai untuk mempersembahkan lagu terbabit pada pertandingan berkenaan.

“Ketika ini, kami masih mencari penyanyi sesuai untuk menggantikan tempat Siti. Kalau boleh, penyanyi itu biarlah lelaki dan bukan daripada kalangan artis baharu.

“Segala keputusan bagaimanapun perlu mendapat persetujuan daripada komposer dan penyanyi asal lagu terbabit,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media pengumuman 30 lagu yang layak bertanding pada SFMM34 di Balai Berita, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Penerbit Eksekutif program berkenaan, Nurhul Huda Khalid, berkata pihak produksi memberi kebebasan sepenuhnya kepada pemilik lagu terbabit untuk membuat keputusan.

“Kami menerima siapa sahaja penyanyi yang dirasakan layak untuk mempersembahkan lagu itu. Malah, kalau tiba-tiba Siti mengubah fikiran untuk menyanyikan lagunya pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 34, jika layak berbuat demikian, kami tetap terima,” katanya.


Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza. - NSTP/Salhani Ibrahim

Isu pengganti yang layak menyanyikan Anta Permana timbul apabila Siti kekal dengan pendirian untuk tidak lagi bertanding dalam program berkenaan kerana ingin berehat.

Pentas SFMM34 yang dipancarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam nanti akan turut dimeriahkan kemunculan bintang berpengalaman seperti Ramlah Ram, Nora, Datuk Hattan, Zamani dan kumpulan Shades.

Berikut adalah senarai lagu layak ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 34:

Minggu pertama - 15 November

Drama (Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib / Drama Band)

Paku (Tukang Musik, Kadok / Ara Johari, Shasha / Ara Johari)

Tiada Dirimu (Farouk Roman / Amylea)

Mencuba (Sufian Suhami, Zynakal / Sufian Suhami)

123 (Khai Bahar / Khai Bahar, Patrock Anohada / Khai Bahar)

Satukan Rasa (Kanda & Dinda, Iman Imran / Siti Nordiana & Khai Bahar)

Terlalu Memuja (Sharon Paul, Gouffran / Ahmad Fedtry Yahya / Wany Hasrita)

Hatiku Milikmu (Nana Alias, Shana / Nana Alias / Siti Nordiana)

Bidadari (Omar K, Adib Hamdi, John Jeevasingham / Altimet / Ismail Izzani)

Aku Yang Bersalah (Haqiem Rusli, Fareez Fauzi / Usop)

Kepuraanmu (Sirkhan, Rinkarnaee, Sang Hitam / Luqman Faiz)

Minggu Kedua - 22 November

Anta Permana (Hael Husaini, Ezra Kong / Datuk Seri Siti Nurhaliza)

Rampas (Hang Nadim, Laq / Bunga Cantik / Akim & The Majistret)

Pujaan Hati (Ikhwan Fatanna, Ayden Ali / Arisz Ab. Rahman, Ayden Ali / Adira)

Sumpah (Naim Daniel, Omar K / Naim Daniel)

Ku Bersuara (Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham / Ernie Zakri)

Kisah Cinta Kita (Ikhwan Fatanna, Ayden Ali / Datuk A Aida / Hafiz Suip)

Teguh Setia (Ibnu & Gouffran / Muna Shahirah)

Ragaman (Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo / Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan / Faizal Tahir)

Pedih (Room None / Iman Imran / Sarah Suhairi)

Bekas Kekasih (Mel Ramlan, Aizat Amdan / Tomok)

Lembah Kesepian (Haqiem Rusli / Haqiem Rusli, Ibnu & Gouffran / Haqiem Rusli)

Minggu ketiga - 23 November

Dinda (Ali Sariah / Kugiran Masdo)

Peneman (Tam / Hazama)

Bimbang (Farouk Roman / Amylea / Marsha)

Tetap Kamu (Farouk Roman / Amylea / Amylea x Megat)

Pudar (Amylea / Indah Ruhaila)

Sumpah (Aina Abdul / Aina Abdul)

Bangun (Navigator / Aman RA)

Jutaan Purnama (Ezra Kong, Hael Husaini, Omar K / Datin Alyah)

Berita Harian X