Rabu, 6 November 2019 | 3:33pm
JASMIN mahu selebriti lebih teliti, terutama apabila berkongsi hal peribadi di laman sosial. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

'Takkan semua benda nak kongsi?'

KUALA LUMPUR: Pelakon berkarakter, Jasmin Hamid, menyanggah pandangan segelintir pihak yang menganggap selebriti milik masyarakat sehingga perlu berkongsi semua perkara, termasuk hal peribadi.

Baginya, masyarakat berhak mengetahui perkembangan aktiviti seni mereka kerana ia sebahagian tuntutan kerjaya, namun selebriti mempunyai pilihan untuk mengunci mulut apabila menyentuh urusan peribadi.

Dikenali sebagai anak seni yang cukup berahsia mengenai hal peribadi, pelakon yang popular menerusi filem Boss dan Kanta Serigala itu lebih selesa masyarakat menilai hasil kerjanya.

“Saya memang tidak setuju jika ada yang berpendapat, artis milik masyarakat. Kami cuma menghiburkan masyarakat, itu tugas dan tanggungjawab. Tetapi, itu tidak bermakna, setiap inci kehidupan kami perlu diketahui umum.

“Sekurang-kurangnya ada sedikit bahagian yang disimpan sebagai ruang peribadi. Cukup keluarga dan mereka yang terdekat tahu, selebihnya biar saya simpan untuk diri sendiri.

“Itu cara saya. Jika artis lain bersedia untuk berkongsi kehidupan peribadi mereka, silakan. Itu hak masing-masing,” katanya.

Tambah Jasmin, dia menceburi bidang seni kerana mahu berkongsi bakat, bukan bersandar cerita kontroversi yang tidak membantu namanya bertahan.

“Tanya diri, apa objektif utama masuk dunia seni? Jika diperhatikan, saya lebih banyak berkongsi aktiviti seni dan hanya sedikit kehidupan harian bersama pengikut,” katanya.

Akur tidak semua menyenangi perkongsian yang dimuat naik di laman sosial, terutama Instagram, Jasmin berkata, dia mengambil pendekatan menyekat mereka yang cuba menyebarkan aura negatif.

“Saya mahu hidup tenang tanpa dibebani apa yang orang cakap atau fikir. Bukan mereka yang memberi saya makan ketika saya memerlukan. Mereka hanya tahu bercakap.

“Kalau ada yang memberikan nasihat, saya ambil sebagai ruang memperbaiki diri. Kalau sebaliknya, saya biarkan sahaja ia berlalu.

“Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri kerana saya tidak mahu dibelenggu aura negatif,” kata pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan itu.

Jasmin kini muncul dengan drama Pesan Pada Hati, arahan terakhir Allahyarham Raja Ahmad Alauddin yang menampilkan Shukri Yahaya dan Nabila Razali sebagai pelakon utama menerusi slot Lestary di TV3.

Berita Harian X