Ahad, 27 Oktober 2019 | 9:15am
PENYANYI, As’ad Motawh, tidak rela media sosial memberikan kesan negatif kepadanya. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, As’ad Motawh, tidak rela media sosial memberikan kesan negatif kepadanya. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

As'ad elak kontroversi foto, video lucah

KUALA LUMPUR: Penyanyi, As’ad Motawh, tidak kisah terpalit dengan sebarang kontroversi asalkan bukan membabitkan gambar dan video lucah.

Tegasnya, dia berusaha sebaik mungkin dan sentiasa waspada bagi mengelakkan diri terjebak dalam isu sedemikian.

“Biarlah diri ini terpalit dengan sebarang kontroversi, asalkan tidak membabitkan gambar atau foto lucah. Panjang lagi perjalanan kerjaya saya. Jadi, kalau boleh saya mahu mengawal diri dengan sebaiknya agar tidak terpalit dengan kontroversi sebegitu.

“Pada masa sama, bukan mudah untuk saya mengulas mengenai perkara ini kerana ia sedang hangat diperkatakan.

“Ia adalah perkara yang memalukan kerana membabitkan anggota badan. Tiada apa yang hendak dibanggakan pun. Bagaimanapun, kontroversi yang berlaku terhadap teman selebriti lain menjadi pengajaran buat saya juga,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang popular dengan lagu Senyum itu mengulas mengenai kontroversi foto dan video bogel dalam kalangan selebriti, yang dikatakan semakin menjadi-jadi, ketika ditemui pada majlis pelancaran 11.11 Big Sale Shopee, di sini.

Sering terkait cerita panas, As’ad mengakui tidak terkesan dengan kecaman warganet, selain banyak belajar daripada kesilapan lalu.

Penyanyi yang baru sahaja muncul dengan single berjudul Selamanya itu berkata, dia turut mengambil pendekatan menghantar mesej peribadi di media sosial kepada pihak yang mengutuk dan memberikan aura negatif kepadanya.

“Biarpun baru berusia 18 tahun, boleh dikatakan banyak juga pengalaman pahit saya lalui sepanjang berkecimpung dalam arena seni. Dalam tempoh setahun itu juga, saya sering menerima pelbagai kecaman.

“Begitupun, saya tidak mahu mudah melatah, sebaliknya cuba membetulkan mana-mana yang boleh diperbaiki.

“Media sosial memainkan peranan besar, jadi jangan biarkan ia memberi impak negatif kepada kita. Berikan sokongan moral dan semangat kepada pihak yang berdepan masalah getir. Jangan menghakimi mereka tanpa mengetahui cerita sebenarnya,” pesan As’ad.

Berita Harian X