Rabu, 23 Oktober 2019 | 1:00pm
PENGALAMAN menyertai program realiti beri Chubb-E kekuatan untuk terus perkenalkan bakat. - NSTP/AZIAH AZMEE

Chubb-E akur belum menyerlah

KUALA LUMPUR: Meskipun sudah lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, selain pernah menyertai dua program realiti, penyanyi yang menggelarkan dirinya sebagai Chubb-E akur, masih bergelut memperkenalkan bakat.

Chubb-E atau nama sebenarnya Muhammad Shahrul Ashlyn Awang Ashrul Affandy, 20, bagaimanapun, bersyukur pengalaman berdepan pelbagai ujian ketika menyertai program realiti memberinya kekuatan untuk terus melangkah.

“Ketika menyertai Ceria Popstar musim kedua, saya berjuang bersama seorang lagi rakan. Kami pernah bekerjasama dengan beberapa artis, namun nama kami tetap tidak menyerlah.

“Situasi itu semakin mencabar apabila rakan saya membuat keputusan menyambung pengajian dan memilih hanya untuk aktif di belakang tabir. Demi minat yang masih mendalam, saya teruskan juga perjalanan solo hingga menjuarai program Ceria Megastar, tahun lalu,” katanya.

Chubb-E berkata, program itu banyak membuka matanya terhadap hala tujunya dalam bidang muzik. Program itu juga membentuknya supaya lebih kreatif memperkenalkan bakat.

“Alhamdulillah, kejayaan dalam program itu menarik minat syarikat rakaman, Future Music dan saya diberi peluang tampil dengan single kedua, Kita Cuma Kawan.

“Single ini saya tulis berdasarkan pengalaman sendiri dan saya yakin, ia pernah dilalui orang lain. Dalam menghasilkan karya, saya mahu ia dekat di hati pendengar,” katanya.

Berbanding single pertamanya, Aku Tak Kisah, Chubb-E mengakui, Kita Cuma Kawan lebih cepat diterima apabila mencatat 100,000 tontonan selepas seminggu diperkenalkan di YouTube.

Mungkin ia agak perlahan bagi penyanyi lain, tetapi tidak bagi Chubb-E yang masih merangkak untuk dikenali.

“Saya belum lagi melakukan promosi menyeluruh untuk lagu ini, tetapi tidak sangka ia berjaya menarik penonton.

“Sebelum lagu itu diperkenalkan, saya ada memuat naik status di laman sosial mengenai diri hanya hanya dianggap kawan oleh ‘seseorang’.

“Mungkin gimik itu turut membantu kerana selepas status itu dimuat naik, ramai memberi maklum balas dan berkongsi pengalaman mereka. Ia membuatkan saya rasa lebih dekat dengan peminat,” katanya.

Berita Harian X