Rabu, 23 Oktober 2019 | 9:00am
JATT selesa bersederhana dan tidak pernah meletakkan dirinya sebagai penyanyi legenda. - NSTP/HAFIZ SOHAIMI

Jatt tak pernah anggap diri legenda

KUALA LUMPUR: Lebih empat dekad dalam industri muzik, vokalis kumpulan legenda, Black Dog Bone, Jatt sentiasa berpijak di bumi nyata.

Penyanyi berusia 63 tahun itu berkata, dia tidak pernah menganggap dirinya popular, biarpun Black Dog Bone sudah memahat kukuh nama dalam industri muzik.

“Mungkin nama saya tidak asing bagi pendengar dewasa atau lebih berusia, namun generasi baharu tidak kenal siapa Jatt.

“Mereka mungkin tahu lagu saya, tetapi tidak kenal siapa penyanyinya. Ketika lagu saya popular, mereka mungkin belum dilahirkan.

“Saya juga tidak pernah meletakkan diri sebagai penyanyi legenda. Buat apa mahu banggakan diri kerana saya selesa bersederhana,” katanya.


JATT berharap penyertaan dalam Gegar Vaganza musim keenam membawanya dekat dengan peminat muda. - NSTP/HAFIZ SOHAIMI

Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali ialah antara 13 peserta yang menyahut cabaran dalam program realiti, Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Penyanyi lagu Merpati Putih dan Sisa-Sisa Cinta itu berkata, biarpun berpengalaman luas, dia sentiasa terbuka menerima apa sahaja maklum balas, termasuk komen negatif.

“Saya menyertai program itu kerana mahukan lebih pendedahan. Saya berharap, menerusi GV6, peminat generasi muda mengenali siapa Jatt.

“Saya terima jika persembahan dikritik. Walaupun sudah lama menyanyi, tidak semestinya kita bagus. Sekurang-kurangnya, kritikan membantu kita mengenal pasti kekurangan diri dan berusaha memperbaikinya.

“Soal dikecam, saya tidak pernah kisah. Terpulang kepada mereka kerana saya tidak hidup hanya mengharapkan pujian. Saya juga ada kelemahan dan sedar hakikat itu,” katanya yang masih hebat beraksi di pentas.

Sebagai penyanyi, Jatt berkata, dia sentiasa menitikberatkan penjagaan kesihatan, selain melatih vokal supaya tampil ampuh di pentas.

“Pada usia sekarang, saya perlu menjaga stamina dengan banyak berehat, selain mendapatkan tidur yang cukup. Paling penting, kena jaga makan.

“Dari segi diet, isteri banyak membantu menjaga pemakanan saya. Sejak dua bulan lalu, saya amalkan makan salad. Apabila badan ringan, senang sikit untuk membuat persembahan,” katanya yang turut bermain dram untuk BDB.

Berita Harian X