Selasa, 22 Oktober 2019 | 9:00am
Mazleela mendedahkan injap jantungnya tersumbat dan dinasihatkan doktor supaya tidak terlalu aktif. Foto NSTP Hafiz Sohaimi

Injap jantung Mazleela tersumbat

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mazleela mendedahkan dirinya berdepan masalah kesihatan apabila injap jantung tersumbat sejak tiga tahun lalu.

Tersingkir dari musim keenam Gegar Vaganza (GV6), Ahad lalu, Mazleela bagaimanapun menjelaskan, penyakitnya itu tidak serius dan terkawal dengan bantuan ubat-ubatan.

“Penyakit ini mula dikesan apabila jantung saya sakit bagai ditekan. Apabila berjumpa doktor, dia bertanya apakah anggota keluarga ada sejarah menghidap sakit jantung.

“Apabila doktor bertanya, saya teringat arwah emak yang mempunyai masalah jantung tersumbat.

“Selepas diperiksa termasuk meneliti draf degupan jantung, masalah saya tidaklah terlalu serius. Cuma doktor mahu saya lebih berhati-hati.

“Doktor juga berpesan agar saya tidak terlalu aktif bagi mengelak letih,” katanya BH Online.

Berikutan itu, susuk tubuh penyanyi yang berasal dari Johor Bharu ini semakin menyusut. Malah, Mazleela juga tidak boleh menyanyikan lagu bernada tinggi.

Mazleela menambah, apabila diberitahu layak menyertai GV6, hatinya mula risau.

“Saya banyak berfikir dan meminta pandangan suami. Disebabkan nyanyian sudah menjadi bidang saya, suami izinkan.

“Pihak produksi juga sudah dimaklumkan lebih awal mengenai penyakit saya. Biarpun mereka risau, namun saya beri jaminan semuanya baik-baik,” katanya yang menyahut cabaran itu bagi menggembirakan hati.

Ahad lalu, Mazleela menjadi peserta pertama tersingkir apabila aksinya mendendangkan lagu Apa Khabarmu Di Sana nyanyian asal Ramlah Ram, gagal menambat hati juri.

Tidak menyalahkan sesiapa, Mazleela berkata, dia akan lebih aktif dalam dunia seni yang ditinggalkan sejak 15 tahun lalu.

Berita Harian X