Isnin, 21 Oktober 2019 | 7:06pm
Rita menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat terhadap individu yang didakwa mempertikaikan status anak-anaknya. Turut hadir pada sidang media adalah peguam pelakon itu, Mohd Syakirin. Foto Ihsan Rita Rudaini

Giliran Rita ambil tindakan

KUALA LUMPUR: ‘Kutuk saya tak apa, tapi apabila sentuh anak, saya tak boleh berdiam.’

Itu dakwaan Rita Rudaini yang memberi tempoh 14 hari kepada individu yang dikatakan mempertikaikan status kedua-dua anaknya di Instagram, untuk bersemuka atau berdepan tindakan undang-undang.

Pelakon itu mendakwa, dia membawa perkara itu ke muka pengadilan selepas menganggap fitnah dilemparkan melampau, berniat jahat, mengaibkan serta menjatuhkan maruah dirinya dan anak-anak.

“Individu terbabit mempertikaikan anak-anak saya sama ada sah taraf atau tidak. Itu saya tak boleh terima. Memang bertujuan memalukan (saya), sangat menghina.

“Berikutan itu, saya meminta pendapat peguam. Selepas berbincang, kami teruskan untuk ambil tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rita ditemani ditemani peguam, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan pada sidang media itu. Pelakon itu terlebih dahulu membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 2.30 petang.

Rita menambah, dia mahu bersemuka dengan individu, bukan bertemu secara maya atau melalui media sosial.

Sementara itu, bintang filem Mami Jarum itu meminta rakan seperjuangan mengambil tindakan tegas terhadap netizen yang melemparkan fitnah sebagai peringatan kepada orang lain.

“Saya ambil langkah sama seperti Jasmin Hamid. Ini penting supaya tidak ada lagi pihak yang sesuka hati menjadikan selebriti sebagai ‘punching bag’,” katanya.

Rita atau nama penuhnya, Rita Rudaini Mokhtar, 43, dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Rafqa Arjuna, 8, hasil perkahwinannya dengan pemain bola sepak, Mohd Aidil Zafuan.

Rita dan Aidil mendirikan rumah tangga pada Februari 2008, namun bercerai pada September 2013.

Berita Harian X