Isnin, 21 Oktober 2019 | 5:17pm
Zarina yang sedang menunaikan umrah, bersyukur dipertemukan dengan madu yang banyak membimbingnya ke arah kebaikan. Foto NSTP Rohanis Shukri

Zarina tunai umrah bersama madu

KUALA LUMPUR: Pelakon Zarina Zainuddin bersyukur diberi peluang mengerjakan umrah bersama anak, ibu dan madunya yang menjadi pembimbing sepanjang berada di Makkah.

Zarina, 48, menyifatkan madunya sebagai wanita yang sangat baik hati apabila membawa keluarga menuju kebaikan dalam hidup.

“Ya Allah, saya bersyukur dijemput ke rumahMu. Terima kasih kepada madu saya yang mengajak saya pergi menunaikan umrah, membimbing saya mengenai fardu, rukun umrah dan solat sunat.

“Bahagianya kerana saya ditemukan Allah insan yang baik hati, membimbing kami sekeluarga ke arah kebaikan,” katanya berkongsi perasaan dalam Instagram.

Zarina yang berada di Tanah Suci sejak Sabtu lalu, ditemani madunya, Datin Seri Norhasimah Mohd Noor, ibunya, Zahura Abdul Mutalib dan anak, Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan.

Aktres dan usahawan itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Sri Dr Abu Raihan Wan Jaafar pada 1993 dan dikurniakan empat anak lelaki.

Biarpun dipinang sendiri madunya, sejak mula berkahwin, Zarina tidak pernah berkongsi wajah suami demi menghormati perasaan madu sehinggalah empat tahun lalu.

Zarina yang pertama kali berangkat ke Tanah Suci, berkongsi pengalaman merebut peluang menunaikan solat di depan Raudhah.

Berita Harian X