Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:00pm
Hun tidak mahu terburu-buru cipta kemasyhuran dalam dunia seni. Foto NSTP Mahzir Mat Isa

Hun Haqeem tak gelojoh

KUALA LUMPUR: Genap setahun menjadi pelakon, bulan depan, Hun Haqeem mengaku perjalanan seninya masih panjang.

Sudah membintangi tiga drama, Hun, 21, yang berjinak-jinak mendekati dunia lakonan ketika menjalani latihan ilmiah di Jabatan Komunikasi Korporat, Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), tahun lalu, jejaka ini realistik dalam mengejar impian.

“Ketika menjadi ‘trainee’ saya cuba nasib. Namun, tiada tawaran diterima sehinggalah Disember tahun lalu.

“Saya ditawarkan berlakon dalam telefilem Tasbih Usang terbitan Hypptv. Saya berlakon bersama Riena Diana dan Namron.

“Sebenarnya, saya masih berlatih... Banyak yang perlu saya belajar dan pertingkatkan,” katanya kepada BH Online.

Hun berkata, perjalanan dalam dunia seni menjadi lebih mudah apabila disunting syarikat produksi Metrowealth (MIG) sejak November, tahun lalu.

Namun, Hun tidak mahu terburu-buru dalam mencipta kemasyhuran.

“Saya utamakan pelajaran. Jadi, selepas tamat pengajian dalam bidang komunikasi korporat di sebuah kolej swasta, barulah saya beri tumpuan kepada bidang lakonan,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Hun berkata, salah seorang kakaknya, pernah terbabit dalam dunia muzik, namun memperlahankan rentak.

“Kakak sulung pula bertugas sebagai peguam. Abang pula sedang mengikuti pengajian perubatan di Russia,” katanya.

Berita Harian X