Isnin, 21 Oktober 2019 | 11:00am
Mawar sanggup membawa anak ke lokasi penggambaran kerana tidak sanggup berenggang biarpun sekejap. Foto NSTP Zunnur Al Shafiq

Mawar tak boleh berenggang dengan anak

KUALA LUMPUR: Pelakon Mawar Rashid, 24, tidak mampu berenggang dengan anaknya, Raden Muhammad Rafael yang berusia tujuh bulan.

Lantas, pelakon yang menempa nama dalam drama Suamiku Paling Sweet dan Kalis Kasih itu memberitahu, dia tidak kisah mengusung Rafael ke lokasi penggambaran.

“Bukan sahaja tidak mampu berjauhan dengan anak, tetapi saya juga mahu Rafael dapat menyesuaikan diri dengan orang sekeliling.

“Sebelum ini, saya dan suami, Raf Yaakob selalu membawa Raden Ahmad Rayyan dan Raden Seri Raysaa Chanela ke lokasi penggambaran.

“Kami mahukan anak-anak pandai membawa diri dan selesa bersama orang tua. Mereka tidak hanya bergaul dengan kanak-kanak sahaja. Jadi, pemikiran mereka cepat matang,” katanya kepada BH Online.

Membintangi filem seram Penaklukan Syaitan arahan Michael Ang, Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid mengaku berdepan pengalaman meletihkan.

“Saya berpeluh-peluh, kepala rasa macam nak pecah dan suara hilang akibat terlalu banyak menjerit ketika membawa watak Miza.

“Ada babak saya seperti kena rasuk dan lupa diri. Tidak mudah kerana hampir dua tahun saya tidak berlakon,” katanya yang tidak mampu menolak tawaran Ang kerana teringin bekerjasama dengannya.

Tambah Mawar, Ang pernah mempelawa membintangi drama Hero Seorang Cinderella tetapi terpaksa ditolak berikutan tidak mampu memberi komitmen.

Selain Mawar, filem Penaklukan Syaitan dibintangi Ben Amir, Sharifah Shahora, Nadya Syahera, Norlia Ghani dan Alif Muhaimin.

Berita Harian X