Ahad, 20 Oktober 2019 | 4:56pm
Nadzmi dan Ardell Aryana pada majlis persandingan mereka. Hampir dua bulan hidup bersama, Nadzmi mendakwa berat badannya naik 15 kilogram. Foto Mahzir Mat Isa

Dua bulan kahwin, badan naik 15kg

KUALA LUMPUR: Dapat isteri handal memasak, alamatnya..?

Itulah dialami pelakon Nadzmi Adhwa yang mendakwa berat badannya melonjak 15 kilogram (kg) selepas berkahwin dengan Ardell Aryana, kira-kira dua bulan lalu.

Nadzmi atau nama penuhnya, Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 27, memberitahu, sejak berkahwin, berat badannya mencecah 80kg berbanding 65kg sebelum ini.

“Ini semua gara-gara masakan isteri yang sedap-sedap. Ardell pandai memasak, sebutlah lauk apa sekalipun, semua dia boleh buat... Maklumlah anak chef.

“Saya paling suka kalau isteri menyediakan masak lemak cili api siput sedut dengan sambal petai. Kombinasi dua lauk ini membuatkan saya bertambah apabila makan,” katanya kepada BH Online.

Nadzmi berkata, dia sedang berusaha mendapatkan berat badan ideal berikutan bimbang berhadapan masalah kesihatan.

“Saya akan kembali ke gimnasium untuk bersenam dan mengecilkan semula saiz badan.

“Kalau saya buat tak tahu, masalah kesihatan pula akan muncul. Sekarang, hendak berlari sedikit pun mengah.

“Cuma saya tak boleh hendak menolak jika isteri masak... Nanti merajuk pula,” katanya yang bernikah dengan Ardell pada 1 September lalu.

Dalam perkembangan lain, Nadzmi sibuk mempromosikan filem seram berjudul Anak Perjanjian Syaitan mula ditayangkan, Khamis ini.

Filem arahan Helmi Yusof itu turut menampilkan Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Shahrulnizam Noor dan Azlan Komeng.

Berita Harian X