Ahad, 20 Oktober 2019 | 11:02am
MIRA bersama Caprice ketika menjayakan video muzik Baby Sayang. Foto IG Caprice

'Biarlah orang nak buat andaian pasal kami'

KUALA LUMPUR: “Sesiapa sahaja bebas membuat andaian berdasarkan gambar yang dikongsi di media sosial. Selain Caprice, saya juga dikaitkan dengan Ungku Ismail apabila kami berlakon bersama.

“Saya faham dan perkara ini tidak dapat dielakkan selagi saya masih sendiri. Terpulang untuk orang luar membuat andaian kerana saya profesional apabila membabitkan soal kerja,” kata Mira Filzah.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu berkata demikian ketika mengulas mengenai gambar yang dikongsi Caprice di Instagram yang mencetus pelbagai andaian, baru-baru ini.

Bintang Pujaan Hati Kanda itu berkata, gambar yang dimuat naik penyanyi itu adalah sebahagian daripada babak muzik video lagu terbaru Caprice, Baby Sayang yang turut menampilkannya sebagai pelakon.


MIRA akur tidak mampu mengelak daripada menjadi sasaran gosip selagi hatinya belum dimiliki. NSTP/Saddam Yusoff  

Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, berkata sudah lama Caprice menyatakan hasrat untuk menampilkannya dalam video muzik itu.

“Sebelum ini, jadual kerja saya tidak mengizinkan, biarpun saya tidak perlu lama berada di lokasi penggambaran itu.

“Namun, memikirkan bahagian awal video muzik itu menggunakan suara saya yang diambil menerusi sesi Live di Instagram, sedikit masa lalu, saya terima juga tawaran itu,” katanya.

Video muzik yang dimuat naik menerusi YouTube sejak seminggu lalu itu sudah mencatat hampir dua juta tontonan.

Mira bagaimanapun, menegaskan dia tidak berhasrat untuk berkecimpung dalam bidang nyanyian kerana akur dengan kemampuan diri.

“Saya tidak rasa punya bakat dalam bidang nyanyian. Cukuplah saya menjadi pelakon dan pengacara kerana saya sedar kemampuan diri,” katanya.

Berita Harian X