Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:02am
AYU masih laris menerima tawaran persembahan biarpun jarang mendapat publisiti. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Saya bukan artis 'sendu' - Ayu Damit

KUALA LUMPUR: “Tidak semestinya kerap muncul di skrin televisyen (TV) bermakna banyak tawaran persembahan”.

Demikian jawapan penyanyi, Ayu Damit ketika menjelaskan mengenai popularitinya yang dikatakan semakin ‘sendu’ apabila jarang menjadi pilihan penerbit untuk menjayakan program TV.

Bakat yang dicungkil menerusi program realiti, One In A Million musim kedua itu berkata, biarpun tanpa publisiti, dia masih aktif menerima tawaran persembahan korporat dan acara tertutup.

“Jika ada yang beranggapan nama saya sudah ‘sendu’, saya pula berpendapat sebaliknya. Mungkin mereka fikir seperti itu kerana sudah beberapa tahun saya tidak menghasilkan single baharu.

“Biarpun jarang muncul dalam program TV, rezeki saya sebagai penyanyi masih ada. Tawaran menyanyi masih diterima, terutama pada hujung minggu.

“Alhamdulillah, permintaan untuk membuat persembahan tetap ada seperti menyerikan karnival atau makan malam,” katanya ketika ditemui pada sidang media, Havoc Food Festival, baru baru ini.

Selepas beberapa tahun memberi perhatian kepada mengukuhkan perniagaan, isteri Syed Fauzi Syed Baharuddin itu kini bersedia menghangatkan semula industri hiburan.

“Saya cuba intai komposer seperti Hael Husaini, selain berusaha mendapatkan khidmat penulis lirik antaranya Slen Fadzil dan Iman Imran.

“Sebelum ini, saya lebih dikenali dengan lagu balada, tetapi untuk kemunculan terbaru, saya berhasrat merakamkan lagu rancak. Saya hanya mencuba.

“Dalam situasi pasaran yang tidak menentu, saya tidak mahu terlalu mengambil risiko. Bukan mudah kerana saya menguruskan sendiri kerjaya. Kalau tidak yakin, lebih baik wang itu saya laburkan untuk memantapkan perniagaan,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu itu kali terakhir tampil dengan single, Dari Hati pada 2016.

Berita Harian X