Selasa, 8 Oktober 2019 | 4:21pm
ALIF menasihatkan peminat supaya tidak terlalu taasub mengagumi artis hingga mencetuskan perasaan kurang senang pihak lain. Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Minat artis biar berpada-pada'

KUALA LUMPUR: Tidak salah meminati seseorang artis, namun perlu berpada-pada dan usah terlalu taasub hingga mencetuskan situasi kurang sihat dalam industri hiburan.

Artis versatil, Alif Satar berkata, setiap individu mempunyai hak untuk menyatakan sokongan mereka, namun perlu ada batasan supaya tidak menimbulkan perasaan kurang selesa pada orang lain.

“Saya faham situasi peminat kerana saya juga pernah berada di tempat mereka. Saya ialah peminat fanatik Datuk Seri Siti Nurhaliza, malah begitu meminati lagu nyanyiannya, Percayalah ketika di bangku sekolah.

“Minat itu tidak salah, tetapi jangan terlalu taasub hingga mencetuskan pergaduhan antara sesama peminat. Saya juga mempunyai kelompok peminat tersendiri, tetapi saya selalu menasihatkan mereka, usah terlalu taasub menyokong kerana saya bukan manusia sempurna,” katanya.

Alif baru-baru ini, menjadi mangsa kecaman peminat fanatik BTS apabila mempertahankan lagu Boy With Luv dinyanyikan lapan orang, sedangkan kumpulan K-pop popular itu hanya dibarisi tujuh anggota.

“Perkara ini tidak patut diambil terlalu serius. Saya cakap perkara yang betul kerana lagu itu dibawakan lapan penyanyi, termasuk Halsey.

“Kelakar apabila membaca setiap komen di laman sosial. Sebelum ini, ada yang mengusik BTS adalah akronim kepada Bandar Tasik Selatan hingga menimbulkan kemarahan peminat kumpulan itu.

“Saya tidak faham, mengapa mereka terlalu beriya-iya, seolah-olah kumpulan itu langsung tidak boleh diusik. Tidak salah jika minat seseorang artis, tetapi jangan sampai bergaduh hanya kerana perkara remeh,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, biarpun dikecam, dia bersyukur masih ada kelompok peminat BTS yang rasional dan menyokong pandangannya.

Sementara itu, Alif bakal beraksi bersama Raihan menjayakan Konsert Countless Blessing di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara pada 2 November ini.

Konsert anjuran Philandure dan Komited Malaysia itu diadakan bagi mengumpul dana untuk enam pertubuhan terpilih. Tiket menyaksikan persembahan mereka boleh didapati dengan melayari: www.myticket.asia.

Berita Harian X