Selasa, 8 Oktober 2019 | 1:00pm
Selepas lebih sedekad mencipta nama, Tiz lebih memilih watak kerana tidak mahu peminat jemu dengan lakonannya. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

'Tiz memilih bersebab'

KUALA LUMPUR: Lebih sedekad dalam dunia lakonan, Tiz Zaqyah pernah menyaksikan kerjaya seninya berada di puncak ketika dirinya masih remaja.

Mula berkongsi bakat lakonan pada 2006 menerusi siri Gol & Gincu serta Impian Illyana musim kedua, namanya menjadi sebutan ramai apabila Tiz atau nama sebenarnya, Siti Zaqyah Abdul Razak, 30, membintangi Nur Kasih di samping Remy Ishak dan Datuk Fizz Fairuz, tiga tahun kemudian.

Bahkan, menerusi naskhah yang disiarkan TV3 mulai Mei 2009 itu juga dirinya dan Remy masing-masing dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita dan Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-23.

Bukan sekadar mencipta fenomena di skrin kecil, mereka kemudian membuai emosi peminat apabila versi filem yang menyaksikannya kembali menghidupkan watak Nur Amina menemui penonton di pawagam pada 2011.

Begitupun, seperti pernah dilalui deretan pelakon lain, kerjaya Tiz juga ada pasang dan surutnya. Namun, ketika darjah kehangatan dirinya agak kurang diperkatakan, peluang untuk wanita kelahiran ibu kota ini berkongsi bakat dengan peminat tidak pernah tertutup.

Cuma, ada ketikanya kisah peribadi seperti cerita cinta bagai menenggelamkan bakat besar miliknya.

Tahun ini, rezeki untuknya beraksi di layar kecil terus kencang apabila drama demi drama menyaksikannya tampil sebagai teraju utama. Jika tahun lalu dia kembali mencuri perhatian dengan drama Isteri Bukan Untuk Disewa, mulai 3 Oktober lalu, Tiz akan sekali lagi menghiburkan peminat dengan lakonannya dalam Sara Sajeeda.

Menerusi karya terbitan Zeel Productions siaran slot Samarinda TV3 itu, dia digandingkan dengan aktor tampan Pakistan, Arslan Asad Butt.

“Setakat ini, Alhamdulillah, saya masih fokus dan konsisten dalam dunia lakonan. Rezeki saya dalam bidang seni masih murah apabila tawaran berlakon tidak putus-putus diterima daripada pelbagai syarikat penerbitan.

“Cuma, ada ketikanya saya tidak mahu terlalu menumpukan perhatian kepada lakonan drama rantaian yang panjang. Saya juga enggan dilihat ghairah menerima tawaran berlakon berturut-turut.

“Selain itu, saya juga perlu bersikap memilih atau selektif. Soal pemilihan watak dan jalan cerita sesebuah naskhah yang ditawarkan menjadi keutamaan. Tahun ini, saya memang memasang azam untuk terus mempelbagaikan karya lakonan,” katanya kepada BH Online.

Suatu masa dahulu, kata Tiz, dia masih tercari-cari apa yang dimahukan dalam kehidupan, sebagai insan dan anak seni.

“Sebagai seorang yang masih baharu dalam lakonan, waktu itu saya teroka apa sahaja peluang yang menjelma di depan mata,” katanya.

Bahkan, katanya, walaupun sudah lebih sedekad menjadikan lakonan sebagai sumber pendapatan, dia masih menganggap dirinya orang baharu dalam bidang berkenaan.

“Sebagai pelakon, saya selalu menganggap diri ini masih baharu dan banyak lagi perkara perlu diperbaiki dan dipelajari dalam bidang ini. Saya tidak boleh berasa selesa dengan apa yang ada.

“Tahun ini, memang saya mahu muncul dengan lebih kerap di kaca TV. Saya lihat, penonton boleh menerimanya apabila mereka dipersembahkan dengan watak berbeza dan cerita yang berlainan.

“Sejak dahulu, saya berusaha untuk tidak mengulangi karakter yang sama bagi mengelakkan penonton bosan,” katanya.

Menyentuh lakonannya sebagai Sara dalam drama 30 episod, Sara Sajeeda, Tiz berkata, dia perlu terbang ke Pakistan bagi menjalani penggambarannya di negara berkenaan.

Kata Tiz, sebaik sahaja dia berkongsi cerita mengenai penggambaran drama terbabit, selain memuat naik gambar bersama Arslan, ramai peminat dan pengikutnya di Instagram tidak sabar menunggu lakonannya dalam naskhah itu.

Tidak kurang yang terpesona dengan wajah kacak pelakon gandingannya.

‘Memadu kasih’ dengan Arslan yang menghidupkan watak Fawwad, Tiz akui teruja beraksi dengan pelakon luar, termasuk Anmol Baloch yang memegang watak Sajeeda.

“Saya melakonkan watak Sara dalam drama arahan Eoon Shuhaini ini. Pelakon Pakistan rata-ratanya cantik dan kacak. Jadi, saya memang berasakan sangat bertuah dapat memegang watak utama dalam naskhah membabitkan pelakon dari negara berkenaan. Ia rezeki yang tidak mampu ditolak.

“Bayangkan, selepas berkongsi foto bersama Arslan di Instagram, sudah ramai pengikut dan kawan yang tidak sabar menunggu drama ini disiarkan. Jangan tak tahu, ada juga yang sudah tidak keruan melihat wajahnya. Tapi jangan marah, dalam drama ini Arslan pilih saya,” katanya berseloroh.

Tiz berkata, pengalaman bekerja dengan pelakon dan kru produksi berkenaan juga sangat berharga buat dirinya.

“Saya teruja bekerja dengan produksi drama ini. Selama ini, saya hanya mendengar nama dan menonton naskhah terbitan mereka.

“Bagi menyenangkan kerja penggambaran pula, pihak produksi menterjemahkan skrip untuk memudahkan pelakon dan kru Pakistan. Biasalah, masalah bahasa pastinya ada apabila bekerja dengan orang luar,” katanya.

Berita Harian X