Isnin, 7 Oktober 2019 | 1:00pm
Sham mengesahkan kumpulan Visa tidak pernah dibubarkan seperti yang disangka banyak pihak. Foto NSTP Eizairi ShamsudinSUDIN

Sham Visa tak pernah menyesal

KUALA LUMPUR: Tiga belas tahun lalu, dia tekad meninggalkan dunia seni dan memilih untuk bekerja di pelantar minyak.

Meskipun pekerjaan baharu itu menjarakkan dirinya daripada limpahan dunia glamor, tiada sedikit pun penyesalan dalam diri vokalis kumpulan Visa, Sham, apabila memilih untuk meninggalkan bidang yang pernah mempopularkan dirinya, suatu ketika dahulu.

Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana jadual kerja yang tidak menentu, Sham atau nama lengkapnya Rohisham Hashim cukup tabah menghadapi situasi itu demi mencari rezeki halal.

Namun begitu, kata lelaki berusia 47 tahun ini, keinginan untuk kembali ke dunia muzik tetap ada dalam diri dan sekali-kali tidak pernah terpadam daripada sanubari.

Sebagai bukti, kata Sham, kumpulan Visa yang cukup popular dengan lagu Dalam Gerimis dan Untukmu Selamanya juga masih aktif dan tidak pernah berpecah, seperti disangkakan ramai.

“Kali terakhir saya menghasilkan album adalah pada 2003 dan saya tinggalkan kerjaya seni, tiga tahun kemudian, untuk bekerja di pelantar. Sepanjang tempoh itu, saya sangat komited dengan kerja.

“Walaupun kerinduan untuk kembali menyanyi tetap dirasa, namun, berikutan saya bekerja di tengah laut dan jadual kerja pula tidak menentu, ia membuatkan hasrat itu terbantut.

“Biasalah, apabila bertugas di pelantar, kita bukan boleh selalu pulang ke darat. Kadang-kadang, saya kena berada di sesebuah lokasi bagi tempoh yang agak lama. Saya pernah berada di Bintulu, Sarawak, selama empat bulan dan hanya boleh pulang menemui keluarga dua bulan sekali,” katanya.

Menurutnya, dia bukanlah meninggalkan terus dunia seni suara kerana ada masanya dia tetap ‘jamming’ bersama anggota Visa yang lain.

“Ketika sambutan Hari Malaysia, baru-baru ini, saya ada juga menyanyikan lagu patriotik yang pernah dipopularkan oleh penghibur tersohor, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, di laman sosial kami, visabandofficial,” katanya.

Pada zaman kegemilangannya dahulu, Sham antara vokalis yang menjadi kegilaan ramai, khususnya peminat wanita. Dua lagu nyanyiannya itu pula mendaki carta popular apabila sering diputarkan di corong radio.

Mengimbas kembali pengalaman merakamkan dua lagu terbabit, Sham mengakui ada cerita menarik di sebalik pembikinannya.

“Lirik lagu Untukmu Selamanya itu asalnya adalah sebuah puisi. Selepas siap liriknya, barulah melodi dihasilkan. Magisnya, melodi lagu itu mengambil masa hanya selama lima minit untuk disiapkan.

“Bagi lagu Dalam Gerimis pula, saya mengambil masa agak lama untuk menyiapkan rakamannya ketika ia diadakan di sebuah studio di Singapura.

“Lagu ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan itu memang sukar dan memerlukan sepenuh penghayatan, untuk menjadikannya sebuah karya sempurna. Hanya selepas enam jam di studio, barulah proses rakaman selesai,” katanya kepada BH Online.

Sham antara 13 artis yang terpilih untuk menjayakan musim keenam Gegar Vaganza (GV6) yang akan memulakan siarannya pada 13 Oktober ini.

Lebih sedekad meninggalkan dunia seni, Sham akui terlalu banyak perubahan dapat dilihatnya. Paling ketara, katanya, industri hiburan kini lebih ke arah teknologi seperti penggunaan media sosial sebagai cara untuk mendekatkan diri dengan peminat.

“Dahulu, kita kena tunggu lama untuk mendapatkan maklum balas daripada peminat, tetapi kali ini semuanya berlaku dengan pantas. Komunikasi dua hala menerusi media sosial hari ini memberi peluang kepada peminat atau pengikut menulis apa sahaja, termasuk komentar berbaur negatif. Suka ataupun tidak, kita kena bersedia untuk menerimanya.

“Bagi saya, jika komen diberikan bercorak positif, saya akan terima bagi memperbaiki diri. Jika ia berbentuk kecaman yang sengaja memancing emosi, saya takkan layan,” tegasnya.

Melihat penampilannya ketika ini, ramai yang bersetuju wajah Sham saling tidak tumpah seperti Tony Stark lakonan Robert Downey Jr dalam filem Iron Man dan Avengers.

Potongan rambut dengan sedikit uban, berkumis serta mengenakan kaca mata berbingkai bulat membuatkan imej mereka kelihatan sangat serupa.

Saat diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, Sham akui sudah lali dengan gelaran terbabit dan dia bersikap terbuka mengenainya.

“Saya tidak kisah pun kalau orang nak kata imej saya sama dengan watak berkenaan. Saya anggap ia satu penghargaan buat saya. Kalau boleh, saya memang nak kekal dengan imej ini, namun pihak pengurusan mempunyai perancangan untuk mengubahnya apabila pertandingan bermula. Apa juga imej yang akan ditampilkan nanti, saya reda,” katanya.

Berita Harian X