Khamis, 3 Oktober 2019 | 1:03pm
ANTARA kenangan dirakam Mira Filzah ketika bercuti di Amerika Syarikat. - Foto ihsan Mira Filzah
ANTARA kenangan dirakam Mira Filzah ketika bercuti di Amerika Syarikat. - Foto ihsan Mira Filzah

Urut, bercuti terapi diri Mira Filzah

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Mira Filzah, mendedahkan tidak mempunyai banyak masa untuk diri sendiri berikutan terlalu sibuk dengan pelbagai tuntutan kerja.

Bagaimanapun, apabila ada waktu terluang, bintang Sangkar itu akui gemar melepaskan kepenatan dengan berurut, selain mengembara ke lokasi menarik.

“Jika ada cuti panjang sebelum memulakan sesuatu kerja baharu, saya cuba ambil masa untuk bercuti. Penghujung Ogos lalu, saya dan keluarga sempat ke Amerika Syarikat.

“Kemudian, sekembali ke tanah air, saya terikat dengan promosi filem Sangkar. Saya juga sempat meluangkan masa bersama peminat ketika menyertai acara santai #FANtastik di Puncak Alam. Sehari selepas itu, saya terbang ke London pula bagi menunaikan tanggungjawab bersama sebuah jenama pakaian, di sana.

“Namun, apabila ada sahaja masa terluang, saya memang akan menggunakannya sebaik mungkin. Kebelakangan ini, memang saya gemar berurut sebagai terapi diri. Lega apabila dapat memanjakan diri selepas sibuk bekerja,” kata pengacara Nona itu.

MIRA sempat singgah di Las Vegas sewaktu bercuti bersama keluarga di Amerika Syarikat, Ogos lalu. - Foto Instagram Mira Filzah
MIRA sempat singgah di Las Vegas sewaktu bercuti bersama keluarga di Amerika Syarikat, Ogos lalu. - Foto Instagram Mira Filzah

Ketika ini, Mira baru sahaja memulakan penggambaran drama rantaian terbaru arahan Shahrulezad Mohameddin, Adellea Sofea, untuk siaran slot Akasia TV3 pada Disember depan.

“Drama ini menjadi pengalaman sulung saya bekerja dengan Shahrulezad. Menjayakan karakter baharu dan berbeza, ia semestinya mencabar kemampuan diri,” katanya.

Pada malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu, 22 September lalu, selain diumumkan sebagai Bintang Paling Popular, Mira juga mengungguli kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Filem Wanita Popular.

Bersama Remy Ishak pula, bakat kelahiran Ipoh, Perak itu diumumkan sebagai pemenang kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular, menerusi Pujaan Hati Kanda.

Berita Harian X