Rabu, 25 September 2019 | 2:27pm
ABPBH 32 suntik semangat Ryan Deedat untuk terus berusaha mendapat tempat di hati peminat. Foto Aziah Azmee

Ryan Deedat hargai pengalaman bersama ABPBH 32

KUALA LUMPUR: Biarpun tiada rezeki membawa pulang trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Ryan Deedat menghargai setiap pengalaman sepanjang perjalanan acara itu.

Katanya, peluang menjayakan siri jelajah ABPBH 32, bermula di Komtar JBCC, Johor Bahru, disusuli Aman Central, Alor Setar dan #FANtastik & Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam memberikan pengalaman yang tidak terlupakan.

“Saya tidak kecewa tewas, sebaliknya menghargai setiap peluang yang dikutip sepanjang ABPBH 32. Terlalu banyak kenangan manis, terutama apabila berpeluang melihat sendiri bagaimana peminat begitu menghargai segala usaha saya selama ini.

“Ia memberikan saya semangat untuk terus membuktikan kemampuan. Meskipun masih baharu dan nama juga belum kuat, peluang yang diberikan APBH 32 banyak membantu saya memperkenalkan diri,” katanya.

Pada ABPBH 32 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu, Ryan terpaksa akur dengan keampuhan populariti pelakon, Adam Lee yang mengungguli trofi Artis Baharu Lelaki Popular.

“Saya tidak akan mengalah, sebaliknya menjadikan pengalaman pertama ini sebagai pemangkin untuk melipatgandakan usaha supaya kemunculan lebih diterima,” katanya.

Penyanyi lagu Salimah itu turut mencuri perhatian apabila tampil dengan gaya seperti pereka fesyen antarabangsa, Karl Lagerfeld pada malam kemuncak ABPBH 32.

Berterima kasih kepada kelab peminatnya, Ryaners, Ryan berkata, dia kini menanti reaksi ramai terhadap percubaan ketiganya menerusi single ketiga ciptaan Aepul Roza, Jika Memang Harus.

Single itu dilancarkan pada 11 September lalu sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-27.

“Hidup perlu diteruskan dan sebagai penyanyi baharu, saya sentiasa berusaha menampilkan sisi berbeza supaya kehadiran diterima,” katanya.

Berita Harian X