Isnin, 23 September 2019 | 2:47pm
RAIHAN bersama trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima pada kemuncak ABPBH 32, malam tadi. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
RAIHAN bersama trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima pada kemuncak ABPBH 32, malam tadi. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Perjuangan dakwah Raihan belum selesai

KUALA LUMPUR: Usaha kumpulan Raihan membawa misi dakwah merentas sempadan menerusi muzik dihargai apabila menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada kemuncak Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-32, malam tadi.

Lebih dua dekad membawa perjuangan mereka, kumpulan yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim itu berkata, usaha Raihan menyebarkan mesej dakwah menerusi lagu belum bernoktah.

Bagi Che Amran, selagi kudrat masih bersisa, misi berdakwah akan terus mereka jalankan hinggalah nafas terhenti.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan penghargaan yang diberikan. Trofi itu bukan sekadar anugerah biasa, sebaliknya kami anggap ia sebagai hadiah dari negara sendiri.

“Selain mengiktiraf segala pengorbanan, keringat dan air mata yang mengalir, ia menjadi pembakar semangat untuk kami terus menjalankan aktiviti berdakwah menerusi lagu.

“Kami masih belum mahu bersara kerana perjuangan Raihan belum tamat. Insya-Allah, pada penghujung tahun ini, kami akan keluar negara mengadakan persembahan.

“Selagi diperlukan, kami tidak pernah jemu menabur bakti dengan cara memberi hiburan, pada masa sama, menyebarkan syariat Islam,” katanya.

Berkongsi resipi kejayaan menakluk pasaran antarabangsa, Che Am bersyukur, imej dan muzik yang berbeza memudahkan kemunculan mereka diterima.

“Keistimewaan Raihan adalah dari segi muzik dan imej Islamik yang kami ketengahkan. Nyanyian kami hanya diiringi alat muzik genderang dan ia sesuatu yang baharu buat orang luar.

“Sebelum ini, mereka banyak mendengar lagu nasyid yang berat. Tetapi, apabila mendengar muzik Raihan yang lebih ringan dan sederhana, mereka tertarik mengikuti perkembangan kami.

“Lirik yang diketengahkan Raihan juga pelbagai. Ada moden dan ada tradisional seperti selawat serta doa harian.

“Antara pencapaian peribadi yang membanggakan kami apabila muzik Raihan turut menarik orang bukan Islam untuk sama-sama menikmatinya,” katanya.

RAIHAN ketika membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH 32. Foto Eizair Shamsudin
RAIHAN ketika membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH 32. Foto Eizair Shamsudin

Sepanjang 23 tahun penubuhan, Raihan pernah mengembara merentas enam benua, termasuk Australia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Afrika dan Asia untuk membuat persembahan.

Kumpulan itu turut diundang menjayakan persembahan penutup sempena Sukan Komanwel di Bukit Jalil pada 1998, selain menerima kunjungan Ratu Elizabeth di Studio Synchrosound, Petaling Jaya sebelum acara bermula.

Terdahulu, pada 1997, kumpulan yang pernah tiga kali menggenggam trofi Penyanyi Nasyid Popular ABPBH turut beraksi di hadapan ketua negara Komanwel sempena Persidangan Negara-Negara Komanwel di Edinburgh, Scotland.

Sejajar dengan aliran terkini yang menyaksikan ramai penyanyi menumpukan perhatian terhadap rakaman single, berbanding album, Che Amran mengakui, pernah terlintas untuk melakukan perkara sama.

Kemunculan single Sesungguhnya 2019 yang menyaksikan mereka bergandingan dengan Alif Satar, bagaimanapun membantutkan usaha itu.

“Pada awalnya, kami memang mahu merakamkan lagu baharu. Projek itu bagaimanapun, tergendala apabila kami muncul dengan Sesungguhnya 2019.

“Melihat sambutan yang diberikan mencetuskan idea untuk kami meneruskan usaha yang sama. Mungkin selepas ini, kami akan mencari lagu lama Raihan untuk diberikan nafas baharu.

“Kami mempunyai banyak himpunan lagu yang sesuai. Lagipun, untuk menghasilkan lagu baharu, terutama pada masa sekarang, bukan satu keperluan.

“Ke mana juga Raihan pergi, peminat tetap mahukan lagu popular kami,” katanya.

Pada malam kemuncak ABPBH 32, Raihan menghiburkan tetamu dengan tiga lagu iaitu Puji-Pujian, Thank You Allah dan Iman Adalah Mutiara.

Berita Harian X