Sabtu, 21 September 2019 | 4:17pm
KEADAAN Shazroul ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada 10 September lalu. - Foto ihsan Noraini Elias

Shazroul kritikal akibat jangkitan kuman pada usus

KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim keempat, Shazroul Fazlie, berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman pada usus.

Menurut ibunya, Noraini Elias, Shazroul jatuh sakit secara tiba-tiba, 10 September lalu, iaitu sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-34.

“Anak saya dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di ICU HKL. Dia sudah melalui dua pembedahan, masing-masing pada 10 September lalu dan hari ini. Doktor turut melakukan pemotongan usus yang bocor, sepanjang kira-kira 90 sentimeter.

“Doktor memaklumkan, kaedah rawatan dilakukan cukup berisiko dan mereka berharap, badannya kuat untuk melalui proses pembedahan ini dari masa ke semasa. Saya berharap semua mendoakan yang terbaik untuk anak saya,” katanya kepada BH Online.


PENYANYI, Shazroul Fazlie, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usus, jam 6.20 petang tadi. - Foto Facebook Shazroul

Menurut Noraini, berat badan Shazroul juga menyaksikan penurunan secara drastik, daripada 61 kilogram (kg) kepada 45 kg.

“Allah sentiasa menguji hamba-Nya. Begitu juga dengan anak saya yang mendapat perkhabaran duka apabila dimaklumkan mengenai hal ini. Lebih menyedihkan, ia terjadi sebelum sambutan hari lahirnya.

“Saya bagaimanapun percaya, dia anak yang kuat,” katanya.

Sebelum itu, perkhabaran berkenaan turut dikongsi beberapa temannya, termasuk rakan seperjuangan dalam program terbabit, Natasha Nordin.

Shazroul pernah menghasilkan album berjudul Cuma, selain berduet dengan Adzrin Azhar menerusi lagu Pencuri Hati.

Berita Harian X