Selasa, 10 September 2019 | 5:19pm
LIZA merestui minat anak sulung untuk mengikut jejak langkahnya dalam bidang nyanyian. Foto IG Liza Hanim

'Kalau betul nak menyanyi, dia kena serius'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Liza Hanim sentiasa memberi galakan apabila anak sulungnya, Marsya Qistina menunjukkan minat mengikut jejak langkahnya dalam bidang nyanyian.

Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 39, bagaimanapun, meletakkan syarat supaya Marsya, 16, sentiasa serius dengan apa yang dilakukan, selain tidak sesekali mengabaikan pelajaran.

“Saya memang menggalakkan dia menyanyi dan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian, tetapi tidak pula sehingga memaksa.

“Kalau dia berminat menyertai sesuatu pertandingan, sebagai ibu, saya akan menyokong dan memberinya semangat.

“Cuma, pesan saya, kalau betul minat menyanyi, jangan buat separuh jalan. Dia kena lebih serius dan melakukan yang terbaik kerana saya diajar begitu ketika mula-mula menceburi bidang nyanyian,” katanya.

Walaupun dia dan suami, Shahrin yang juga bekas anggota kumpulan Indigo lebih terkenal dengan muzik pop, penyanyi yang popular menerusi lagu Getaran Cinta Di Jiwa itu berkata, Marsya lebih cenderung kepada genre muzikal.

“Selalunya remaja sebayanya lebih meminati muzik K-pop dan mengikuti akaun Instagram penyanyi yang menjadi kegilaan semasa. Tetapi, Marsya pula lebih gemar mengikuti akaun media sosial artis yang popular di pentas muzikal.

“Pernah juga saya bertanya, apakah dia berminat memasuki kelas pementasan muzikal, tetapi dia pula tidak bersedia,” katanya.


MARSYA ketika sesi uji bakat sebuah pertandingan nyanyian. FOTO IG Liza Hanim

Dalam perkembangan lain, penyanyi bervokal lunak itu bakal muncul membuat persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 22 September ini.

Mengulas perkara itu, Liza yang baru melahirkan anak kelima, awal tahun ini berkata, dia terharu masih menjadi pilihan penganjur untuk menghiburkan penonton pada acara anugerah tahunan berprestij itu.

“Saya sangat terharu dengan kepercayaan yang diberikan. Insya-Allah, saya akan memberikan yang terbaik pada malam itu.

“Segmen saya nanti memberi fokus kepada kuasa vokal dan sudah tentu, persiapan saya lebih ke arah itu. Buat masa ini, saya masih menunggu susunan muzik disiapkan.

“Hanya selepas itu, baru saya akan memulakan latihan. Secara peribadi, saya agak berdebar untuk kembali beraksi, apatah lagi baru melahirkan anak,” katanya.

3461 dibaca
Berita Harian X