Selasa, 10 September 2019 | 1:00pm
AFIEQ menanti 11 tahun untuk mengusir imej kanak-kanak yang begitu sebati di ingatan peminat. Foto Aziah Azmee

Afieq Syazwan kikis imej penyanyi kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Penyertaannya dalam program realiti, Big Stage, tahun lalu memberi impak terhadap kerjaya seni Afieq Shazwan yang sebelum ini sering dibayangi imej sebagai penyanyi kanak-kanak.

Afieq, 22, berkata program itu membawanya keluar daripada bayangan yang selama ini mengekorinya, biarpun sudah pelbagai usaha dilakukan untuk membuang imej itu.

“Saya akui, terlalu sukar mengikis bayangan itu, tambahan pula saya mula mengatur langkah dengan menyertai program realiti, Idola Kecil ketika usia 11 tahun.

“Selama lebih 11 tahun berjuang, baru sekarang saya nikmati sedikit keselesaan apabila nama mula dikenali. Dahulu, agak sukar untuk mencari peluang kerana saya masih dianggap kanak-kanak.

“Sepanjang 2008 hingga 2018, kerjaya saya banyak tertumpu pada lakonan dan pengacaraan, biarpun pernah menghasilkan single, Seandainya pada akhir 2017,” katanya.

Turut mempertaruhkan single kedua, Darjat selepas menyertai Big Stage, Afieq berkata, kedua-dua percubaan itu belum berjaya membawanya berada pada tahap selesa sebagai penyanyi.

Justeru, penuntut tahun kedua pengajian Diploma Perniagaan Antarabangsa di Management And Science University (MSU), Shah Alam itu mengakui, dia seperti tidak percaya namanya menembusi senarai Top 5, Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 selepas sekian lama berjuang.

“Secara jujur, menembusi senarai Top 20 sudah cukup membuatkan saya bersyukur, apatah lagi Top 5. Selama ini, saya sering meletakkan impian mahu ke malam kemuncak ABPBH sebagai finalis.

“Alhamdulillah, impian itu termakbul selepas 11 tahun berjuang. Selepas ini, saya berazam mahu menembusi pencalonan kategori pelakon dan pengacara pula.

“Saya mahu jadi sehebat Shaheizy Sam, Shukri Yahaya dan Beto Kusyairy dalam lakonan,” katanya yang pernah diangkat sebagai Pelakon Harapan, Anugerah Skrin TV3 menerusi drama, Aku Mau Terbang pada 2010.

567 dibaca
Berita Harian X