Selasa, 10 September 2019 | 11:00am
FAZURA hanya bersedia ke lokasi penggambaran jika tawaran diberikan mampu meninggalkan impak kepada penonton. Foto Aziah Azmee

Fazura bosan disogok watak tipikal

KUALA LUMPUR: Lebih 15 tahun membina nama dalam industri hiburan, populariti bukan lagi fokus utama pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin.

Malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kelibat Fazura agak jarang kelihatan di skrin televisyen dan di layar lebar, biarpun kemunculannya sentiasa dinanti peminat.

Kali terakhir dia beraksi di layar perak adalah menerusi Ayat-Ayat Cinta 2 yang ditayangkan, dua tahun lalu. Pada tahun sama, drama rantaian lakonannya, Hero Seorang Cinderella, turut ditayangkan.

Selepas itu, isteri kepada Fattah Amin itu dilihat lebih banyak menumpukan perhatian pada kerjaya nyanyian dan bidang rekaan fesyen.

“Pada fasa sekarang, limpahan glamor atau populariti bukan lagi keutamaan. Saya masih ingin berlakon, terutama drama, namun melihat aliran terkini yang masih mengekalkan tema cinta stereotaip, membuatkan saya terpaksa melupakannya buat seketika.

“Saya lebih rela tidak berlakon jika drama kita masih pada takuk sama. Prinsip saya, biarlah tidak selalu muncul di skrin televisyen asalkan naskhah yang saya jayakan mampu memberi impak kepada penonton dan berbeza daripada apa yang sering disajikan.

“Saya tidak akan menggadai prinsip itu hanya kerana mahu kelihatan relevan, sedangkan hasilnya nanti langsung tidak memuaskan hati,” katanya.

Bersama portfolio yang cemerlang, pelakon berusia 35 tahun itu berkata, sekarang bukan lagi masa untuk dia menerima apa sahaja tawaran yang datang, semata-mata mahu dilihat hebat atau menjadi pelakon paling laris.

“Saya lebih selesa memilih untuk menjaga nilai eksklusif. Kalau berbakat, kemasyhuran akan datang tanpa kita perlu mengejarnya. Sebagai pelakon, jika kita bagus, tiada siapa yang akan mempertikai perkara itu.

“Bagi saya, daripada sibuk membuktikan diri sebagai artis paling laris mendapat tawaran berlakon, lebih baik saya fokus kepada usaha memperbaiki mutu lakonan.

“Saya lebih suka orang melihat bakat lakonan, karya dan jalan cerita filem yang saya jayakan,” katanya.

Kembali dengan filem terbaru, Dendam Pontianak, Fazura berkata, dia pada mulanya agak skeptikal untuk menerima tawaran itu.

Namun, selepas melihat jalan cerita, dia bertukar fikiran kerana tertarik dengan gambaran imej pontianak yang tidak tipikal, selain skripnya yang kuat elemen feminisme.

“Ia bukan sebuah filem seram secara total, tetapi turut diselitkan elemen percintaan. Apa yang penting, watak Mina mempunyai pengaruh feminisme sangat kuat dan itu yang saya impikan sejak dahulu lagi,” kata pelakon yang berasal dari Pekan, Pahang itu.

Dendam Pontianak arahan sutradara dari Singapura, Glen Goei dan pengarah tempatan, Gavin Yap menggandingkan Fazura dengan Remy Ishak. Ia menemui peminat di pawagam bermula 12 September ini.

1636 dibaca
Berita Harian X