Isnin, 9 September 2019 | 5:56pm
CATRIONA terkilan dengan sikap warganet yang melulu menjatuhkan hukuman tanpa mencari sebab sesuatu perkara berlaku. Foto Hafiz Sohaimi
CATRIONA terkilan dengan sikap warganet yang melulu menjatuhkan hukuman tanpa mencari sebab sesuatu perkara berlaku. Foto Hafiz Sohaimi

Sampai bila nak cari keburukan orang? - Catriona Ross

KUALA LUMPUR: “Saya pelik dengan sikap segelintir warganet yang begitu cepat melatah dan menilai hanya berdasarkan pemerhatian. Terlalu mudah mereka menjatuhkan hukum.

“Mengapa mereka tidak melatih diri supaya berprasangka baik terhadap orang lain? Jika begini sikap warganet, sampai bila-bila pun mereka akan terus mencari keburukan orang lain,” kata pelakon, Catriona Ross.

Pelakon berusia 39 tahun itu berkata, dia lucu membaca pelbagai komen warganet yang menyelar ‘perubahan’ pada wajahnya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Instagram, baru-baru ini.

Dalam perkongsian itu, rakaman video raut wajah Catriona yang membengkak dan semakin runcing menarik perhatian warganet hingga ada yang menyangka dia melakukan pembedahan plastik.

Catriona berkata, kritikan melulu itu menunjukkan betapa masyarakat terlalu mudah menghukum, sedangkan dia tidak pernah berhasrat mengubah wajahnya.

“Asalnya, saya hanya mahu berkongsi foto dan video wajah saya yang pelik selepas disunting menggunakan aplikasi popular.

“Saya sangkakan, pengikut akan ketawa melihatnya, tetapi sebaliknya pula berlaku. Ramai yang marah, malah memberi tazkirah pada saya kerana mengubah ciptaan Allah.

“Tidak sangka, semakin kita maju, semakin malas masyarakat mahu berfikir dan membaca. Semuanya sudah saya jelaskan pada keterangan gambar.

“Saya tidak terkesan dengan tanggapan mereka, cuma ralat kerana terlalu mudah segelintir masyarakat membuat kesimpulan hanya berdasarkan pemerhatian,” katanya.

Berita Harian X