Khamis, 5 September 2019 | 9:00am
RYAN melihat pencalonan ABPBH 32 sebagai ruang terbaik untuk melonjakkan nama. Foto Syakirah Azhar
RYAN melihat pencalonan ABPBH 32 sebagai ruang terbaik untuk melonjakkan nama. Foto Syakirah Azhar

Ryan Deedat harap tuah ABPBH 32

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Ryan Deedat, tidak mahu mensia-siakan peluang berharga yang diperoleh selepas namanya membolosi Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Akur persaingan diterima agak sengit, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Salimah dan Propa bagaimanapun, tidak menafikan turut menyimpan harapan untuk menggenggam trofi itu.

“Alang-alang sudah membolosi Top 5, sudah pasti saya menyimpan keinginan untuk menang. Bagi saya, ABPBH 32 menjadi platform terbaik mengukuhkan nama kerana saya mahu berjaya, tidak hanya di negara sendiri, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Setiap undian peminat sangat bererti. Justeru, saya tidak malu berkempen di laman sosial untuk memastikan impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Ryan atau nama sebenarnya Sheikh Eamir Deedat, 27, berkata dia juga menghargai peluang menjayakan siri jelajah ABPBH 32 di dua lokasi iaitu Komtar JBCC, Johor Bahru dan Aman Central, Alor Setar, baru-baru ini.

Ryan yang bersaing dengan empat calon lain iaitu Afieq Shazwan, Adam Lee, Iswan Ismail dan Atiq Azman menyifatkan ruang itu sebagai pengalaman baharu yang tidak ternilai dalam usaha membina nama.

“Peluang sertai siri jelajah ABPBH 32 saya anggap cukup istimewa dan memberikan pengalaman paling menarik. Selain bertemu peminat, saya juga dapat ramai kenalan baharu.

“Saya terharu kerana peminat sanggup menunggu lama untuk berjumpa saya dalam persembahan terbuka seperti siri jelajah ABPBH. Ada antara mereka datang dari Singapura.

“Sokongan mereka membuatkan saya sebak kerana tidak sangka, sampai begitu sekali peminat mengikuti perkembangan kerjaya saya,” katanya yang mendapat sokongan kelab peminatnya, Ryanersmy.

Dalam perkembangan lain, Ryan bakal melancarkan single ketiga, Jika Memang Harus ciptaan Aepul Drama Band, pertengahan bulan ini.

Untuk single terbaru itu, Ryan memilih balada selepas terlebih dahulu tampil dengan konsep muzik dansa elektronik (EDM).

“Saya cuba beralih angin dan berdasarkan reaksi awal di laman sosial, ramai yang memberikan maklum balas positif. Insya-Allah, lagu itu akan dilancarkan pada 11 September ini, sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-27,” katanya.

Berita Harian X