Rabu, 4 September 2019 | 11:00am
WATAK Kak Su dalam Pujaan Hati Kanda kembali menaikkan populariti Reen Rahim. Foto Mahzir Mat Isa

Ingatkan saya dah dibenci - Reen Rahim

KUALA LUMPUR: Pernah menerima kecaman hebat apabila sering tampil dengan imej seksi, Reen Rahim kini mampu menarik nafas lega kerana isu itu tidak menggugat kepercayaan peminat terhadap bakatnya.

Reen, 31, juga bersyukur penangan watak antagonis dalam drama Pujaan Hati Kanda kembali melonjakkan bakatnya, sekali gus menenggelam kisah kontroversi yang pernah menyelubungi.

“Saya pernah dikecam hebat gara-gara imej seksi, malah ada yang tergamak menggelar saya sebagai pelacur. Saya ingatkan, isu itu memberi impak buruk dan saya dibenci peminat.

“Tetapi, nampaknya peminat sudah pandai menilai antara kerjaya dan peribadi. Jika kita berusaha memberikan mutu persembahan yang baik, bakat kita pasti dihargai. Itu yang saya lakukan.

“Alhamdulillah, biarpun ada segelintir yang mengecam, masih ada yang menilai dan menghargai hasil usaha saya,” katanya.

Reen berkata, dia umpama menerima rezeki terpijak apabila namanya membolosi Top 5 kategori online, Pelakon Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Memiliki kelab peminat, Reenduyouofficial, yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu, Reen akur sukar untuk mengekang saingan lain yang memiliki kelompok penyokong jauh lebih besar.

“Kalau diikutkan, memang sukar untuk saya tembusi senarai lima popular. Saya bagaimanapun, percaya kejayaan ini bukan semata-mata bergantung kepada kelab peminat, sebaliknya undian peminat luar juga banyak membantu.

“Saya yakin, semua ini penangan watak Kak Su. Impak watak Kak Su amat besar dalam kerjaya lakonan saya. Terima kasih kerana menghargai bakat saya,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri, Lelakimu Yang Dulu, arahan Eoon Shuhaini untuk slot Akasia di TV3.

Menerusi kategori itu, Reen menerima saingan daripada gandingannya dalam Pujaan Hati Kanda seperti Azar Azmi dan Syazwan Zulkifly, selain Azhan Rani serta Shukri Yahaya.

2030 dibaca
Berita Harian X