Isnin, 2 September 2019 | 11:00am
Azar menganggap semua watak yang ditawarkan sebagai tanggungjawab yang perlu dipikul sebaik-baiknya. Foto NSTP Hafiz Sohaimi

Azar digelar 'Maleficent' Melayu

KUALA LUMPUR: Ketika sesetengah pelakon memilih untuk tidak menjayakan watak antagonis dalam drama mahupun filem kerana bimbang akan dibenci serta dikecam peminat, Azar Azmi pula tidak mengehadkan dirinya kepada karakter baik semata-mata.

Pelakon ini bersikap terbuka dalam melakonkan sebarang watak dihulurkan kerana paling utama adalah menunaikan amanah diletakkan ke bahunya. Apa juga watak diserahkan kepadanya, ia harus dipersembahkan dengan sebaik mungkin, termasuk karakter hitam.

Dek peranan sedemikian jugalah dirinya mula dilihat sebagai penyambung legasi pelakon watak jahat terkenal era terdahulu seperti Allahyarhamah Siput Sarawak dan Allahyarhamah Siti Tanjung Perak.

Azar mula menyerlah menerusi watak wanita ‘psiko’ bernama Fatimah dalam drama, Pujaan Hati Kanda. Tidak terhenti di situ, pemilik nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi ini menjayakan pula watak wanita lorong bernama Juita dalam sebuah lagi drama rantaian popular, Nur 2, juga siaran TV3.

Baru-baru ini, Azar mencabar bakat lakonannya apabila buat julung kali melangkahkan kaki ke pentas teater dengan membintangi Pawana Isabella. Dalam naskhah arahan Erma Fatima yang dipentaskan di Istana Budaya itu, dia menjayakan watak Permaisuri Cahya Tishakur yang kejam.

Bersama beberapa watak jahat meninggalkan kesan berada dalam genggaman, justeru tidak keterlaluan andai wanita ini dikalungkan dengan gelaran ratu antagonis alaf baharu.

“Mungkin ada yang beranggapan watak jahat seperti ‘makanan’ saya. Bagaimanapun sebagai pelakon, saya mahu menjadi bakat yang versatil dan tidak hanya terbatas dengan karakter sedemikian. Biarlah ada kepelbagaian dalam lakonan dan pada masa sama, saya mampu memenuhi tuntutan watak berkarakter.

“Cuma, mungkin ketika ini sudah tertulis rezeki saya untuk memegang watak jahat. Saya tetap menganggapnya sebagai kepercayaan pengarah untuk saya terus memberikan persembahan terbaik di pentas lakonan.

“Jika watak jahat berkenaan boleh membuatkan orang membenci diri ini, ia tentunya kejayaan bagi saya. Apa pun, sebarang watak yang diserahkan, saya melihatnya sebagai amanah yang harus dipikul dengan penuh tanggung jawab,” katanya kepada BH Online.

Tegas Azar, dia sekali-kali tidak berasa bimbang andai dirinya dibenci penonton kerana watak jahat yang dimainkan adalah sekadar lakonan.

Jelas Azar, impak watak Juita sebenarnya sukar dihakis daripada dirinya hingga sekarang.

Karakter berkenaan pernah mengundang rasa benci dalam kalangan penonton Nur 2 apabila ramai berasakan, dia menjadi orang ketiga yang berupaya memusnahkan kebahagiaan Nur (lakonan Amyra Rosli) bersama Ustaz Adam (Syafiq Kyle).

Malah, dia turut menggunakan watak hitam berkenaan bagi mencantikkan lakonan dalam Pawana Isabella.

“Selain menjadikan watak Maleficent sebagai rujukan untuk menghidupkan karakter Permaisuri Cahya Tishakur, saya juga ada memasukkan sedikit elemen ‘gedik’ Juita ke dalam karakter itu. Namun, saya harus bijak mengawalnya agar tidak terlalu ketara dan terbawa-bawa dengan watak berkenaan.

“Hendak dijadikan cerita, dalam teater ini pun saya berlakon dengan Syafiq. Jadi, ketika mengadakan latihan bersamanya, tidak semena-mena roh watak masing-masing dalam Nur 2 bagai menjelma.

“Susah hendak menghakis karakter itu daripada diri, sehingga ada masanya saya terlupa, dalam teater berkenaan dia sebenarnya memegang watak Raja Al-Hasiq Ghibran,” katanya.

Mengenai pencalonannya pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 dalam dua kategori, iaitu Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Watak Antagonis Popular, Azar masih sukar menerima kenyataan dirinya kini bergelar calon akhir.

Menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, dia bersaing dengan Janna Nick, Mira Filzah, Siti Nordiana dan Zahirah Macwilson, manakala bagi kategori online itu pula, Azar berentap dengan Azhan Rani, Reen Rahim, Shukri Yahaya dan Syazwan Zulkifly.

“Saya memang terkejut dengan pencalonan ke peringkat akhir dalam kedua-dua kategori berkenaan. Begitupun, saya percaya, ia adalah penangan Juita dan drama Nur 2. Ia membawa saya ke tahap berbeza dalam kerjaya lakonan, termasuk kini berada dalam pencalonan ABPBH 32.

“Watak saya dalam drama arahan Shahrulezad Mohameddin dan naskhah itu sendiri tidak syak melonjakkan nama Azar Azmi di persada seni.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu meletakkan harapan menggunung untuk membawa pulang sebarang trofi pada malam kemuncak ABPBH 32 nanti. Melihat kepada calon lain, masing-masing mempunyai kelompok pengikut sendiri dan sangat hebat,” katanya.

Malam kemuncak anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September ini.

4094 dibaca
Berita Harian X