Jumaat, 30 Ogos 2019 | 11:00am
SUFIAN belum bersedia untuk menjalin cinta selepas kecewa putus tunang, Februari tahun lalu. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sufian belum mahu bercinta

KUALA LUMPUR: Penyanyi Sufian Suhaimi, meminta semua pihak menghentikan gosip konon dia menjalin hubungan dengan selebriti media sosial remaja, Arianna Natasha Abd Zambree.

Sufian, 27, berkata, warganet tidak seharusnya membuat andaian mereka mempunyai hubungan istimewa hanya berdasarkan beberapa foto ketika dia hadir meraikan ulang tahun kelahiran ke-16 gadis itu, baru-baru ini.

“Saya mengenali Arianna menerusi seorang rakan dan kehadiran saya hanya sebagai sahabat, selain memeriahkan majlis sambutan hari jadinya.

“Kami sudah lama kenal, tetapi dia bukan kekasih saya,” tegasnya.

Sufian mengulas perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu runut bunyi (OST) filem Motif, Takkan Merubah, nyanyiannya bersama Amira Othman, baru-baru ini.


SUFIAN menafikan dia dan Arianna menjalin hubungan istimewa. Foto IG Arianna Natasha

Spekulasi hubungannya dengan Arianna tercetus apabila foto Sufian menghadiri majlis sambutan hari lahir gadis itu pada 13 Ogos lalu tersebar di laman sosial.

Penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu itu juga berkata, dia belum bersedia menjalin cinta selepas putus tunang, Februari tahun lalu.

“Saya belum terfikir untuk kembali mencari cinta. Bukan kerana tidak boleh melupakan pengalaman lalu, sebaliknya saya belum bersedia menjalin cinta baharu.

“Saya perlu menjelaskan perkara ini untuk mengelakkan kekeliruan kerana ada pihak beranggapan, saya sudah menemui pengganti selepas dikaitkan menjalin hubungan istimewa dengan Arianna dan Jasmine Suraya,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi lagu Mencuba itu turut dikatakan mempunyai hubungan dengan Jasmine gara-gara membuat kejutan apabila hadir pada majlis meraikan ulang tahun kelima pembabitan pelakon itu dalam bidang seni.

“Kami pernah sekali keluar bersama, tetapi bukan berdua kerana turut ditemani beberapa teman lain. Tiada yang istimewa antara kami.

“Saya terharu mempunyai peminat seperti Jasmine. Secara peribadi, saya suka melihat wajah Jasmine di skrin televisyen kerana dia memiliki kejelitaan yang tersendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sufian baru menerima pengiktirafan sebagai Pemimpin Paling Dikagumi di Asia 2019 bagi kategori Selebriti (Hiburan) anjuran Herald Global & ERTC Media.

Sufian berkata, pengiktirafan yang diraih menjadi pembakar semangat untuk dia terus berkarya.

“Alhamdulillah, sudah tentu saya gembira dengan pencapaian ini, terutama apabila diiktiraf organisasi bertaraf antarabangsa.

“Saya percaya impak populariti dan kejayaan lagu Di Matamu menjadi faktor utama saya menerima anugerah itu,” katanya.

Berita Harian X