Rabu, 14 Ogos 2019 | 11:00am
AZAR menjadikan Teater Malayu - Pawana Isabella sebagai ruang untuk mengasah kekuatan bakat lakonannya. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Azar reda jika terus dibenci

KUALA LUMPUR: Kembali membawakan watak hitam dalam pementasan Teater Malayu - Pawana Isabella, mencetuskan perasaan gusar di hati pelakon jelita, Azar Azmi.

Pelakon yang melonjak popular menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu berkata, dia gementar kemunculan terbarunya itu membuatkan dirinya sekali lagi dibenci peminat.

Azar atau nama lengkapnya Siti Azar Ameerah Azmi, 30, sebelum ini pernah mengundang cemuhan ramai apabila membawakan watak pelacur, Juita dalam drama rantaian popular, Nur 2.

“Sebelum ini, ramai yang mencemuh apabila saya membawa watak pelacur, kali ini saya menjadi permaisuri jahat pula. Bimbang juga jika ada yang mengecam apabila saya terus melakonkan watak antagonis.

“Tetapi, mahu atau tidak, saya perlu melunaskan amanah yang diberikan. Saya reda jika sekali lagi dibenci kerana itu bermakna, lakonan saya meninggalkan kesan di hati penonton,” katanya.

Azar berkata, walaupun terpaksa berkejar-kejar kerana terbabit dengan penggambaran drama, segala penat lelah sanggup diketepikan demi mengutip ilmu dan pengalaman.

“Ketika mendapat tawaran, saya tergamam dan tidak tahu apa yang perlu dijawab. Saya tidak percaya sehinggalah diyakinkan pengurus.

“Orang kata, teater adalah tempat untuk mendapatkan ilmu dan memperbaiki kemahiran berlakon. Walaupun penat, saya terima tawaran ini kerana bukan mudah untuk beraksi di pentas teater.

“Peluang yang datang tidak harus dilepaskan, apatah lagi dibimbing pelakon dan pengarah berpengalaman seperti Erma Fatima. Saya cuba berikan yang terbaik untuk teater ini,” katanya teruja.

Azar berkata, untuk merealisasikan watak sebagai Permaisuri Tishaku, dia menjadikan watak pari-pari jahat, Maleficent lakonan Angelina Jolie sebagai rujukan.

Untuk watak itu, Azar perlu memakai kostum khas dan melafazkan dialog dengan cara tersendiri, sama seperti karakter yang sinonim dengan Jolie itu.

“Walaupun suaminya, Raja Barouk memegang kuasa sebagai pemerintah, segala keputusan ditentukan Permaisuri Tishaku. Untuk watak ini juga, saya dituntut berdialog dalam bahasa baku dan ia agak mencabar,” katanya.

Teater bangsawan itu bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 21 hingga 31 Ogos ini. Ia menampilkan pelakon hebat seperti Janna Nick, Syafiq Kyle, Datuk Afdlin Shauki, Datin Seri Umie Aida, Datuk Ziela Jalil dan Johan Raja Lawak.

Berita Harian X