Sabtu, 3 Ogos 2019 | 4:21pm

Alha Alfa Cosmetics, DuitNow teruja taja ABPBH 32

JOHOR BAHRU: Alha Alfa Cosmetics menyifatkan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) adalah acara anugerah paling dinanti-nantikan peminat hiburan, menyebabkannya meneruskan tajaan bagi tahun kedua.

Pengasasnya, Datuk Alha Alfa, berkata sebagai syarikat kosmetik sedang berkembang ke seluruh negara, pihaknya mahu menggunakan platform ABPBH bagi mempromosikan produk keluaran syarikatnya.

Alha atau nama penuhnya, Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil berkata, sempena ABPBH edisi ke-32 ini, Alha Alfa Cosmetics juga akan memperkenalkan produk baharunya bagi menjana pengguna baharu selain mengukuhkan jenamanya.

“Kami akan memperkenalkan koleksi baharu produk kosmetik Alha Alfa iaitu Set Box Borderless yang mengandungi produk primer, bedak asas, span muka dan blusher.


Alha melakukan demonstrasi menggunakan produk Alha Alfa Cosmetics pada Jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

“Lebih istimewa ia didatangkan dengan span muka berbentuk hati dan bedak asas formula baharu khas untuk merawat kulit,” katanya ketika ditemui BH selepas melakukan tutorial solekan di siri pertama Jelajah ABPBH Ke-32 (ABPBH 32) di Komtar JBCC, di sini, hari ini.

Siri jelajah berkenaan itu turut dihadiri Pengarang Eksekutif, Komersial dan Ehwal Semasa BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir.

Turut hadir, Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Zunida Harun, mewakili DuitNow yang menjadi penaja bersama ABPBH 32.

Dalam perkembangan lain, Alha berkata, pihaknya juga akan menjadi syarikat kosmetik pertama Malaysia yang akan melancarkan jualan kosmetik menerusi mesin layan diri.

“Mesin layan diri Alha Alfa Cosmetics akan dilancarkan dalam tempoh sebulan lagi di bandar utama lengkap dengan jualan produk kami serta klip tutorial mekap di pusat beli belah selain stesen perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) terpilih di Lembah Klang,” katanya.


Alha melakukan demonstrasi menggunakan produk Alha Alfa Cosmetics pada Jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC, hari ini. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Zunida menunjukkan topi DuitNow bagi mempromosikan undian ABPBH 32 di Komtar JBCC. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Sementara itu, Zunida berkata, DuitNow berbesar hati menjadi penaja bersama ABPBH 32 buat kali pertama tahun ini.

Katanya, DuitNow menyertai kempen undian ABPBH 32 bagi memperkenalkan perkhidmatan pemindahan wang mudah yang ditawarkannya menerusi bank-bank tempatan.

“Peminat boleh menggunakan DuitNow untuk mengundi artis dan selebriti kegemaran mereka iaitu dengan hanya 50 sen boleh mengundi sebanyak 30 undian dan boleh dibuat seberapa banyak yang mereka mahukan malah jika mahu membuat undian dalam jumlah pukal pun boleh mengikut bayaran minimum tertentu.

“Mulai hari ini sehingga 9 September depan, peminat yang mengundi selebriti dan artis pilihan mereka menggunakan DuitNow berpeluang mendapatkan 100 tiket menyaksikan malam kemuncak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 22 September depan.

“Peminat bertuah akan ditempatkan di Zon Xlusif DuitNow bagi menyaksikan acara anugerah gilang-gemilang berkenaan,” katanya.

Proses undian ABPBH 32 termasuk menggunakan DuitNow boleh diakses menerusi laman web www.abpbh.com.my.

Lagi gambar sekitar jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC, hari ini: http://www.bharian.com.my/taxonomy/term/13/2019/08/592303/jelajah-abpbh-...

Alha turut menyertai Jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC, hari ini. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X