Khamis, 1 Ogos 2019 | 5:25pm
UMIE Aida bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 4 Ogos ini untuk mengerjakan ibadat haji. Foto Aziah Azmee
UMIE Aida bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 4 Ogos ini untuk mengerjakan ibadat haji. Foto Aziah Azmee

Doa Umie Aida tunai haji makbul

KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Seri Umie Aida, bersyukur doanya ketika menunaikan umrah pada Januari lalu supaya dibukakan jalan untuk mengerjakan Rukun Islam kelima dimakbul Allah SWT.

Umie berkata, dia bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 4 Ogos ini, ditemani suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi menunaikan ibadat haji buat kali pertama.

“Ketika mengerjakan umrah, Januari lalu, saya berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah meluaskan rezeki dan diberi peluang kembali ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji pula.

“Alhamdulillah, doa saya diperkenankan. Saya berharap diberikan Allah kesabaran dan kekuatan untuk melaksanakan segala rukun dengan sempurna.

“Peluang itu juga saya manfaatkan sebagai ruang untuk muhasabah diri kerana setiap tetamu Allah pasti ingin pulang bersama haji mabrur. Saya mahu kembali ke tanah air nanti menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Pelakon filem Dukun itu berkata, dia juga sentiasa berdoa diberikan kesihatan yang baik, sekali gus dapat menyempurnakan ibadat haji dengan lengkap.

“Teruja sebenarnya atas peluang dan kesempatan ini. Secara peribadi, saya sudah tidak sabar mahu ke sana, malah sedang membilang hari menanti waktu Wukuf. Saya harap sangat diberikan Allah kesihatan yang baik untuk merasai nikmat paling berharga ini,” katanya.

Tambah Umie, pemergiannya itu juga bermakna, dia perlu berenggang dengan anak angkatnya, Nur Aisya yang dijaga sejak usia 12 hari.

“Saya pasti merinduinya kerana sebelum ini, dia sentiasa ada di sisi. Bayangkan, setiap hari saya menatap mukanya, tiba-tiba terpaksa berenggang. Memang berat perasaan itu.

“Namun, saya tidak risau kerana dia akan dijaga dengan baik sepanjang ketiadaan saya nanti. Insya-Allah, semoga urusan saya sepanjang di sana nanti dipermudahkan,” katanya.

Berita Harian X