Khamis, 18 Julai 2019 | 11:44am
PENGACARA dan pelakon, Neelofa, bersama dua trofi dimenangi pada ABPBH 29. - NSTP
PENGACARA dan pelakon, Neelofa, bersama dua trofi dimenangi pada ABPBH 29. - NSTP

Sibuk urus perniagaan, Neelofa tak sertai ABPBH 32

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29, Neelofa, mengesahkan menarik diri daripada dicalonkan dalam edisi ke-32 acara anugerah berprestij ini dan tahun hadapan.

Neelofa yang mendakwa sibuk dengan perniagaannya berkata, sukar untuk dirinya mengimbangkan bidang terbabit dengan kerjaya seni.

"Insya-Allah, jika saya sudah tidak lagi sibuk dengan perniagaan, saya akan kembali aktif dalam seni,” katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, Neelofa mengucapkan selamat maju jaya kepada penganjuran ABPBH 32.

"Setinggi-tinggi tahniah kepada akhbar BH dengan pengumuman penganjuran ABPBH 32. Saya pasti, acara berprestij ini akan disambut dengan gemilang dan warna-warni.

"Mana mungkin saya melupakan kenangan indah yang tercipta sepanjang bersama ABPBH.

"Saya doakan supaya ABPBH terus maju dan megah berdiri dalam penganjuran edisi seterusnya," katanya.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan BH, merangkap Penaung ABPBH 32, Khaidir A Majid, berkata penganjur menerima keputusan Neelofa untuk tidak dicalonkan dalam ABPBH 32 dan tahun hadapan.

"Namun, kita berharap Neelofa dapat menyertai ABPBH pada masa akan datang atau sebarang program lain yang dianjurkan akhbar ini.

"Kita juga sentiasa mengalu-alukan penyertaan artis dan selebriti lain, sama ada dalam ABPBH atau program lain untuk manfaat bersama," katanya.

Pada ABPBH 31, Neelofa mempertahankan trofi Pengacara TV Popular buat kali kelima. Hos sebuah program hiburan popular itu juga memenangi kategori online, Artis Sensasi Popular.

Sepanjang menyertai ABPBH, Neelofa menjulang lapan trofi, termasuk lima menerusi kategori Pengacara TV Popular dan tiga kategori online.

Pada ABPBH 29, Neelofa menjulang trofi Bintang Paling Popular yang disampaikan buat julung kali oleh kelab peminat pada siaran secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 2016.

Berita Harian X