Ahad, 14 Julai 2019 | 1:00pm
PELAKON, Syazwan Zulkifly, bercinta dengan pramugari dikenali sebagai ‘Sya’ sejak beberapa tahun lalu. - Foto IG Syazwan Zulkifly

Syazwan pilih pramugari sebagai kekasih

PETALING JAYA: Pelakon, Syazwan Zulkifly, 32, belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga walaupun mengakui sudah mempunyai kekasih.

Kata pelakon watak Pali dalam drama, Pujaan Hati Kanda itu, dia dan gadis terbabit yang cuma diperkenalkan sebagai ‘Sya’ menjalinkan hubungan sejak beberapa tahun lalu.

“Saya mahu mengejar impian untuk bergelar penerbit, terlebih dahulu. Kemudian, baru saya akan memikirkan soal kahwin. Fokus saya dalam tempoh setahun atau dua ini adalah terhadap kerjaya seni.

“Saya bukan langsung tidak memikirkan soal perkahwinan atau tak serius dalam perhubungan, cuma mengenangkan rentak seni saya kembali kencang, tahun ini, jadi elok rasanya saya tumpukan kepada kerjaya dahulu. Maklumlah, nama saya agak tenggelam dalam industri lakonan, sebelum ini,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sesi fotografi bagi mempromosikan filem lakonannya, Wangi, di sini.

Syazwan turut meluahkan kesyukuran kerana buah hati sebaya dengannya itu seorang yang sangat memahami.

“Dia cukup memahami situasi saya hadapi, ketika ini. Lebih-lebih lagi, sudah kira-kira sembilan tahun kami saling mengenali. Cuma, perhubungan menjadi lebih serius sejak beberapa tahun lalu. Keluarga masing-masing juga maklum mengenai perhubungan ini dan tiada masalah berhubung perkara itu,” katanya.

Syazwan juga gembira apabila ramai yang mendoakan kebahagiaan dirinya dan pramugari di sebuah syarikat penerbangan tempatan itu apabila dia memuat naik gambar gadis terbabit di laman sosial, hujung bulan lalu

Berkongsi mengenai naskhah dibintanginya yang akan ditayangkan mulai 5 September depan itu pula, Syazwan berkata, dia menjayakan watak teman lelaki Nabila Huda bernama Azlan dalam filem berkenaan.

“Peranan saya tidaklah besar dalam filem ini, tetapi saya seronok menjayakannya. Apatah lagi apabila dapat bekerja dengan bakat hebat seperti Nabila, Erra Fazira dan Sharnaaz Ahmad.

“Selepas ini, ada beberapa lagi filem lakonan saya akan menemui penonton, iaitu Bikin Filem, Warkah dan Cinta Romusha,” katanya.

Berita Harian X