Khamis, 27 Jun 2019 | 11:00am
DATIN Effa Rizan tidak dapat menahan sebak pada majlis pengebumian arwah suaminya, Datuk Dahlan Zainuddin, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, 29 Mei lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
DATIN Effa Rizan tidak dapat menahan sebak pada majlis pengebumian arwah suaminya, Datuk Dahlan Zainuddin, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, 29 Mei lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Air mata Effa Rizan tumpah rindu arwah suami

KUALA LUMPUR: Meraikan Syawal tanpa insan tersayang di sisi bukan situasi yang mudah untuk dilalui penyanyi veteran, Datin Effa Rizan.

Bukan tidak mampu menerima hakikat pemergian suami tercinta, Datuk Dahlan Zainuddin, kira-kira sebulan lalu, namun begitu banyak kenangan dikongsinya bersama artis yang dikenali dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu.

“Sepanjang 42 tahun hidup bersama, kami tidak pernah berenggang. Bayangkan, ke mana arwah pergi, saya pasti ada menemani. Justeru, apabila dia tiada pada hari raya kali ini, saya rasa janggal. Ketiadaannya di sisi turut membuatkan diri ini berasa sunyi.

“Walaupun saya ditemani oleh anak bongsu kerana kami tinggal bersama di rumah peninggalannya, rasa kosong tetap menerjah diri. Cuma, saya tidak mahu menunjukkan perasaan sedih dan pilu di hadapan orang. Saya perlu kuat dan tabah untuk meneruskan kehidupan.

“Bagaimanapun, saya gagal untuk membohongi perasaan sendiri. Apabila bersendirian dan seakan-akan ternampak kelibatnya, air mata saya tumpah juga,” luahnya kepada BH Online.

KENANGAN Effa dan suami pada Malam Kisah Seorang Biduan Bersama Datuk Dahlan Zainuddin di Hotel Concorde Kuala Lumpur, Mei tahun lalu. - NSTP/Eizairi Shamsudin
KENANGAN Effa dan suami pada Malam Kisah Seorang Biduan Bersama Datuk Dahlan Zainuddin di Hotel Concorde Kuala Lumpur, Mei tahun lalu. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Berikutan Allahyarham kembali ke rahmatullah ketika tinggal seminggu lagi umat Islam mahu meraikan 1 Syawal, penyanyi yang popular dengan lagu Rasa Hati ini berkata, sambutan lebaran, baru-baru ini, tidak lagi semeriah dahulu.

“Kali ini, kami memang tidak begitu beriya-iya menyambut hari raya. Ahli keluarga dan sanak saudara yang lain juga memahami keadaan itu. Merekalah yang datang menziarah saya di rumah dan membawakan makanan. Mana-mana persiapan yang sudah dibuat lebih awal, kami teruskan sahaja. Semua itu pun dibuat ala kadar.

“Anak sulung ada juga mengajak saya ke rumahnya pada malam raya. Saya faham perasaannya yang bimbangkan keadaan ibunya. Namun, saya menolak kerana lebih selesa berada di kediaman sendiri pada waktu itu,” ujar wanita berusia 58 tahun ini.

Akui kerinduan pada arwah suami sangat menyakitkan dan bagai tiada penghujung, kata Effa, setiap kali perasaan itu mengetuk pintu hati, hanya doa mampu dipanjatkan ke hadrat Ilahi.

“Rasa rindu terhadap arwah tidak pernah terpadam. Apabila kerinduan datang bertandang, saya hanya sedekahkan Al-Fatihah dan memperbanyakkan doa semoga rohnya tenang dan dicucuri rahmat Allah,” katanya yang akan terus mencari rezeki dengan menyanyi, selagi terdaya.

Dahlan yang juga penyanyi terkenal era 1970-an meninggal dunia di Hospital Selayang, 28 Mei lalu, pada usia 77 tahun.

Beliau menghembuskan nafas terakhir selepas empat hari koma akibat serangan strok. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Berita Harian X