Jumaat, 21 Jun 2019 | 1:00pm
Ruhainies selesa menjadi diri sendiri dalam memilih gaya atau busana. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad
Ruhainies selesa menjadi diri sendiri dalam memilih gaya atau busana. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad

'Acara 'grand', baju macam nak pergi rumah terbuka'

KUALA LUMPUR: Memilih blaus dan seluar hitam, penampilan Ruhainies pada pelancaran produk kosmetik jenama antarabangsa di Bangkok, Thailand, baru-baru ini, disindir netizen.

Tampil memberi penjelasan, Ruhainies berkata, dia selesa bergaya sopan biarpun tahu ramai jemputan tampil ‘daring’ dan seksi termasuk beberapa artis dari Malaysia yang memeriahkan acara berkenaan.

“Mereka (netizen) kata (penampilan) saya macam hendak pergi rumah terbuka. Sedangkan bagi saya, pakaian itu sopan dan tidak berlebih-lebih.

“Ketika itu, saya tidak sibuk lalu sempat membalas komen. Saya tanya kembali pengikut, takkan saya hendak pakai bikini pula? Walaupun saya tidak bertudung, saya tidak seksi.

“Pakai skirt pun sampai paras lutut... Penampilan saya ada hadnya,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, gaya Ruhainies ketika menghadiri acara pelancaran produk kosmetik itu dikritik netizen sebagai ketinggalan zaman.

Pengguna Twitter membuat perbandingan gaya pelakon drama Cik Misi itu dengan dua lagi artis tempatan yang hadir di acara sama, iaitu Kilafairy dan Amelia Handerson yang dikatakan seksi.

Ruhainies atau nama penuhnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 26, berkata, dia selesa menjadi diri sendiri dalam memilih gaya.

“Walaupun saya dikelilingi wanita ‘daring’ dan ‘hot’, tidak bermakna saya perlu ikut penampilan mereka.

“Saya suka melihat mereka yang tampil menawan. Bagi saya, itu terpulang pada kehendak masing-masing. Mereka ada pendirian sendiri, begitu juga saya.

“Misalnya, saya memiliki perniagaan sendiri dan dikelilingi orang yang minum (mengambil alkohol). Tetapi, saya tak perlu ikut cara mereka.

“Benar, ada masanya, imej saya terbabas. Pastinya, ibu saya yang akan menegur,” katanya yang bakal tampil dengan filem pertama berjudul Musyrik arahan Arjin Uppal.

Berita Harian X