Khamis, 16 Mei 2019 | 5:27pm
Aliff mendukung anaknya ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur bagi kes permohonan cerai terhadap Bella. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali
Aliff mendukung anaknya ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur bagi kes permohonan cerai terhadap Bella. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

'Moga Aliff berubah demi anak, diri sendiri'

KUALA LUMPUR: Hilanglah semua beban ditanggung.

Itu reaksi Bella Astillah selepas disahkan bercerai talak satu dengan bekas suami, penyanyi, Aliff Aziz di Mahkamah Rendah Syariah di sini, petang ini.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, memberitahu, perceraiannya dengan Aliff sedikit sebanyak membuatkan beban ditanggung berkurangan.

“Saya tahu orang kata saya bodoh kerana masih setia di sisi Aliff. Tetapi sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai isteri untuk mempertahankan perkahwinan kami.

“Mungkin sampai di sini sahaja jodoh saya dengan Aliff... Semoga Aliff dapat berubah demi anak dan dirinya sendiri,” katanya ketika ditemui sebaik selesai prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Terdahulu, selepas beberapa kali berdepan kontroversi, termasuk gambar panas bersama seorang gadis tersebar di laman sosial, Aliff akhirnya melafaz cerai talak satu terhadap Bella.

Sepanjang prosiding berlangsung, pelakon dan penyanyi yang dilihat menangis itu turut bersalaman dengan Bella sebelum melafazkan cerai pada jam 3.45 petang.

Bella selaku plaintif memfailkan permohonan cerai pada 21 Mac lalu adalah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur 1984, iaitu perceraian secara baik.

Bella yang berjubah hitam diwakili peguam Syarie, Nurfarhana Abd Manaf, manakala Aliff, 28, atau nama sebenar, Mohamad Aliff Aziz tidak diwakili peguam.

Bella berkata, dia berusaha sebaik mungkin menyelamatkan rumah tangga. Namun, satu persatu kontroversi tercetus membuatkan bebanan tidak mampu ditanggung lagi.

Sementara itu, Aliff ketika ditemui, berjanji memperbaiki diri menjadi insan lebih baik.

“Mungkin ini adalah jalan terbaik. Saya minta maaf kepada semua pihak atas kemelut yang timbul. Apa yang berlaku memberi ruang kepada saya untuk muhasabah diri menjadi lebih baik.

“Saya tahu ramai yang membuat andaian mengenai perkara ini... Terpulang kepada persepsi mereka. Teruk bagaimana pun saya, diri ini masih hamba Allah.

“Saya percaya masih diberi peluang untuk mengubah keadaan. Saya memohon kepada Bella dan keluarga untuk menghalalkan makan dan minum selama ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan rujuk semula dengan Bella, Aliff menyerahkan kepada takdir. Namun, hatinya masih sayang terhadap Bella dan anak lelaki mereka.

“Biar Allah yang menentukan segala-galanya. Apa yang pasti, saya mahu membetulkan keadaan dan memperbaiki diri. Jujurnya, saya masih cintakan Bella.

“Saya memohon kepada orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan dan kebaikan untuk Bella dan anak kami, Muhammad Ayden,” katanya.

Dalam prosiding di mahkamah, Hakim Syarie Izzat Syazli Murshid mensabitkan berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintahkan plaintif menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan sijil nikah mereka dibatalkan.

Izzat mengarahkan defendan (Aliff Aziz) supaya membayar nafkah kepada anak tunggal mereka berusia dua tahun sebanyak RM1,000 setiap bulan ke akaun bank milik Bella bermula Mei ini.

Beliau turut memberi peringatan supaya pasangan itu memberi perhatian kepada anak mereka, Ayden yang berusia dua tahun.

Berita Harian X