Ahad, 5 Mei 2019 | 3:05pm
Nasir menyarungkan cincin di jari Noraziah selepas diijabkabulkan di Bilik Nikah Pejabat Kadi Johor Bahru, Pusat Islam Iskandar Johor, pada jam 11.30 pagi tadi. - NSTP/Zain Ahmed
Nasir menyarungkan cincin di jari Noraziah selepas diijabkabulkan di Bilik Nikah Pejabat Kadi Johor Bahru, Pusat Islam Iskandar Johor, pada jam 11.30 pagi tadi. - NSTP/Zain Ahmed

Nasir Search selamat diijab kabul

JOHOR BAHRU: Dengan sekali lafaz, pemain gitar bass kumpulan Search, Nasir Daud, 60, selamat bergelar suami kepada, Noraziah Saadon, 48, hari ini.

Pasangan berkenaan dinikahkan Kadi Daerah Johor Bahru, Zulkifli Mohamed di Bilik Nikah Pejabat Kadi Johor Bahru, Pusat Islam Iskandar Johor, pada jam 11.30 pagi tadi.

Nasir menyerahkan sebentuk cincin sebagai mas kahwin dan wang hantaran berjumlah RM50,000.

Nasir yang memakai jubah dan Noraziah yang juga pegawai di Pejabat RISDA Johor Bahru, berbaju kebaya merah dan bertudung krim, diiringi ahli keluarga pada majlis berkenaan.

Nasir ketika ditemui pada majlis itu berkata, dia bersyukur pernikahannya bersama pasangan berjalan lancar dan berdoa supaya kekal hingga ke akhir hayat.

“Saya bersyukur semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, malah tidak mengambil masa lama untuk dinikahkan.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan Tuhan dan dapat kerjasama semua pihak,” katanya.

Katanya, dia yang bernikah kali kedua berharap bahtera rumah tangga dibina bersama isterinya kekal hingga ke akhir hayat.

Ditanya perasaannya ketika akad nikah, katanya, dia tidak berdebar kerana tidak ada apa-apa yang mengganggunya dan semuanya berjalan dengan baik.

Majlis persandingan pasangan itu berlangsung di R&R Bistro, Bandar Baru Uda di sini, pada jam 12 tengah hari.

Sementara itu, Noraziah berkata, sikap lembut dan tanggungjawab Nasir membuka hatinya untuk bernikah kali kedua, selain mengimpikan ia menjadi pernikahan terakhir buatnya.

Katanya, perkenalannya bersama artis terbabit selama setahun selepas mereka dipertemukan adik perempuan Nasir yang juga sahabat baiknya.

“Nasir sangat lemah lembut termasuk dari segi tutur katanya, malah rakan artis juga mengakui sikapnya, begitu” katanya.

“Mungkin ini jodoh saya dan saya terima jodoh ini dengan hati terbuka selepas mendapat restu keluarga kedua-dua pihak,” katanya.

Berita Harian X