Rabu, 1 Mei 2019 | 11:00am
Sukar mencari tudung yang disukai, Nabila Razali mengusahakan perniagaan tudung sebagai pendapatan sampingan. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

Nabila Razali 'muntah-muntah' sebelum nyanyi

KUALA LUMPUR: Gemuruh kronik menyebabkan penyanyi Vroom Vroom, Nabila Razali ‘muntah-muntah’ sebelum tampil ke pentas membuat persembahan.

Nabila atau nama sebenar, Nur Nabila Mohd Razali, 27, selalu tidak ‘sedap’ badan setiap kali menunggu giliran menyanyi.

“Sejak dulu lagi, setiap kali hendak menyanyi, perut saya mesti ‘berangin’. Saya jadi gemuruh dan terlalu banyak berfikir. Saya asyik terbayang semua orang sedang menantikan saya menyanyi.

“Tidak kiralah persembahan besar atau kecil, saya mesti ‘muntah-muntah’ sebelum naik ke pentas. Kadang-kadang setiap hari saya muntah kalau banyak ‘show’,” katanya kepada BH Online.

Nabila berkata, jika tidak mual atau muntah, dia pula berasa pelik.

Dalam perkembangan lain, ketika sibuk merancang strategi dalam dunia nyanyian, Nabila melebarkan sayap dalam bidang perniagaan dengan melancarkan tudung Nabaela Scarf.

Akuinya, idea menjual tudung timbul selepas peminat asyik bertanya dan sukakan hijab yang dipakainya.

“Ini adalah masa terbaik untuk menceburi bidang perniagaan. Saya fikir tudung adalah produk paling sesuai dengan saya jual.

“Saya cerewet dengan kualiti tudung. Selalunya, saya sukar mencari tudung yang dimahukan,” katanya yang menawarkan dua koleksi iaitu Bawal Bae dan Cumi-Cumi Shawl.

Nabila berkata, shawl yang menggunakan fabrik heavy chiffon dan cotton voile bagi tudung bawal dipromosikan melalui Instagram.

Berita Harian X