Ahad, 28 April 2019 | 6:00pm
SELEPAS dua bulan berlarutan, Bella mengakui, masih buntu mencari titik penyelesaian kemelut rumah tangganya dengan Aliff Aziz. Foto Mahzir Mat Isa

Bella, Aliff belum nampak jalan penyelesaian

KUALA LUMPUR: Hampir dua bulan kemelut rumah tangganya bersama penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz berlarutan, Bella Astillah mengakui, mereka masih buntu mencari titik penyelesaian untuk menamatkan masalah itu.

Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 25, berkata, dia juga tidak mempunyai jawapan bila isu antara mereka akan selesai, sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan takdir.

“Dalam soal ini, saya tidak boleh mementingkan diri kerana kami ada anak, Mohamad Ayden Adrean. Saya tidak mahu anak membesar tanpa kasih sayang dan perhatian seorang ayah.

“Belum ada dalam sejarah keluarga saya yang melalui fasa perceraian, jadi saya berusaha sebaik mungkin untuk tidak ke arah itu. Namun, jika apa-apa terjadi, perceraian mungkin menjadi jalan terakhir,” katanya.

Bella yang ditemui pada majlis Chari-Tea: In Love With Farah Nabilah & Friends di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi berkata, ketika ini, dia tidak mahu terlalu memikirkan hal rumah tangganya dengan Aliff, sebaliknya hanya mengikut arus hidup.

“Fokus saya sekarang cuma berniaga. Pada bulan puasa nanti, saya dan ibu akan menjual pelbagai jenis biskut raya dan kek batik. Mengenai rumah tangga, saya hanya mampu berusaha dengan melakukan solat istikharah dan selebihnya, saya berserah kepada takdir.

“Orang luar boleh cakap apa sahaja, termasuk mempersoalkan kenapa saya masih mahu memberi peluang kepada suami. Namun, saya berhak membuat keputusan dan menentukan jalan hidup sendiri,” katanya.

Bella berkata, ketika ini, dia dan Aliff tidak lagi tinggal sebumbung, tetapi masih berhubung dan sesekali akan berjumpa.

Aliff pada akhir Februari lalu sekali mencetuskan kontroversi apabila dikatakan menjalin hubungan dengan pelakon, Oktovia Manrose, termasuk ke pusat hiburan bersama-sama.

Terdahulu, penyanyi kelahiran Singapura itu terheret dalam kontroversi pada Julai 2017 apabila dikatakan menjalinkan hubungan dengan pelakon, Afifah Nasir. Bella bagaimanapun, memaafkan perbuatan suaminya dan berusaha membuka buku baharu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia dua tahun.

Berita Harian X