Isnin, 22 April 2019 | 3:57pm
Muhammad Bakhtiar (kiri ) dan Azemi (dua kanan) melihat Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar memetik piano kesayangan P Ramlee pada Majlis Perasmian Getaran 88 Kekunci Hati. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Muhammad Bakhtiar (kiri ) dan Azemi (dua kanan) melihat Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar memetik piano kesayangan P Ramlee pada Majlis Perasmian Getaran 88 Kekunci Hati. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

EKSKLUSIF SIRI SATU: Laporan khas Pustaka Peringatan P Ramlee - Memori legasi seni seniman agung

MEGAH berdiri di tengah ruang, piano kesayangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee di Pustaka Peringatan P Ramlee di Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur adalah simbolik cinta Seniman Agung itu terhadap dunia muzik.

Masih di tempat asalnya, bersebelahan meja makan yang menjadi ruang kesukaan keluarganya, di situ juga kebanyakan masanya dihabiskan, andai tidak ke studio penggambaran atau menghasilkan skrip filem.

Difahamkan, piano itu juga antara instrumen utama yang digunakan P Ramlee dalam menghasilkan karya agung, termasuk sentuhan terakhir yang dialunkan isterinya, Puan Sri Saloma iaitu Air Mata Di Kuala Lumpur, sebelum arwah meninggal dunia pada 1973.

Piano buatan Eropah yang dianggarkan berusia 60 tahun menjadi alat muzik kesayangan maestro seni terbabit.

Sama ada barangan peribadi, termasuk kereta, piano atau persalinan yang digayakan untuk filem lakonan dan arahannya, semua ini meletakkan Pustaka Peringatan P Ramlee sebagai galeri khazanah bersejarah.

Cuma, barangkali disebabkan belum dimasukkan ke senarai pusat pelancongan utama di ibu negara membuatkan bangunan itu tampak sepi.

Piano kesayangan P Ramlee yang berjasa menghasilkan pelbagai karya sentuhan Seniman Agung. - Foto NSTP
Piano kesayangan P Ramlee yang berjasa menghasilkan pelbagai karya sentuhan Seniman Agung. - Foto NSTP

Tetap dalam ingatan

Meskipun ramai mengetahui, binaan itu adalah kediaman asal Seniman Agung bersama isteri dan anaknya, kadang kala ada yang terlepas pandang kewujudannya.

Melihat lokasi, ia strategik iaitu kira-kira empat kilometer dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC), malah tidak jauh dari kawasan segi tiga emas ibu negara.

Bangunan itu bagaimanapun, kembali bernafas, terutama ketika ketibaan tarikh penting seperti hari kelahiran P Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh yang jatuh pada 22 Mac 1929.

Selain musim cuti akhir tahun, kediaman itu juga menerima kehadiran ramai pengunjung pada Mei iaitu sempena bulan memperingati pemergiannya pada 29 Mei 1973.

Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz, berkata Pustaka Peringatan P Ramlee popular, terutama dalam kalangan pelancong Singapura.

“Kami menerima kunjungan ramai peminat setia Seniman Agung, terutama dari Singapura yang tidak lupa singgah melihat khazanah ditinggalkan.

“Populariti dan jasanya mengangkat industri perfileman Melayu di Asia tetap diingati dan masih menjadi bualan, meskipun sudah hampir 46 tahun ketiadaannya.

“Legasi yang diukir sejak era Studio Jalan Ampas, masih diperkatakan peminat seberang yang menjadikan pustaka ini sebagai lokasi persinggahan wajib mereka,” katanya.

Antara koleksi yang dipamerkan di Pustaka Peringatan P Ramlee. - Foto NSTP
Antara koleksi yang dipamerkan di Pustaka Peringatan P Ramlee. - Foto NSTP

Kumpul dana untuk penyelenggaraan

Akui Azemi, kehadiran pengunjung tempatan juga meningkat dari tahun ke tahun, cuma tidak terlalu drastik.

Selain mereka yang membesar pada era filem P Ramlee, memorial peringatan itu turut dikunjungi golongan muda, termasuk pelajar kolej, selain menjadi destinasi kegemaran rombongan sekolah.

Sokongan mereka membuktikan ketokohan pejuang seni itu tidak pudar ditelan zaman, sebaliknya terus subur dalam kalangan generasi kini atau gen Y.

Bagi memastikan ia merangsang kunjungan ramai, pihaknya selaku penyelenggara bangunan setingkat itu berusaha melaksanakan penambahbaikan dari segi susun atur atau menambah koleksi khazanah.

“Koleksi peribadi, mahupun barangan yang pernah digunakan dalam filem atau ketika persembahan tidak ternilai harganya.

“Bagi menambah koleksi sedia ada, tentu sahaja memerlukan kos yang besar. Tetapi, andai ada individu atau pihak lain ingin berkongsi koleksi yang mereka ada di sini, ia sangat dialu-alukan.

“Buat masa ini, perbelanjaan tentu saja terarah kepada penjagaan barangan kerana ada di antaranya memerlukan baik pulih.

“Contohnya, piano yang sudah berusia 60 tahun itu. Syukur kerana menerusi usaha sekumpulan karyawan di bawah projek Getaran 88 Kekunci Hati, ia dalam proses baik pulih,” katanya lagi.

Getaran 88 Kekunci Hati adalah projek yang digerakkan anggota kumpulan Innuendo, Saiful Amir atau Pot dan berjaya mengumpul dana berjumlah RM10,000.

Bagaimanapun, berikutan usia instrumen buatan luar negara itu yang sudah melebihi enam dekad, selain harga alat ganti yang meningkat, dana itu tidak mencukupi.

Piano berusia lebih 60 tahun ini menyimpan banyak kenangan Dian bersama arwah P Ramlee. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Piano berusia lebih 60 tahun ini menyimpan banyak kenangan Dian bersama arwah P Ramlee. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Strategi tingkatkan jumlah pengunjung

Sementara itu, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menimbang cadangan menyerahkan pengendalian pusat budaya, termasuk pustaka peringatan kepada sektor swasta sebagai strategi melonjakkan kunjungan pelancong ke premis terbabit.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata pelan jangka panjang itu akan dibuka kepada mana-mana syarikat berpotensi dan efektif dalam menjana kutipan serta kedatangan pelancong.

“Pustaka Peringatan P Ramlee adalah antara lokasi utama, selain Rumah Kelahiran P Ramlee di Pulau Pinang yang dibuka khas untuk mengenang sumbangan dan legasi seni Seniman Agung.

“Pusat ini juga menjadi antara medan kebudayaan kebanggaan kita. Namun, dalam merancakkan kedatangan pengunjung, kita perlu menggandakan aktiviti sampingan sebagai daya penarik.

“Jadi, cadangan menyerahkan pengurusan pusat ini kepada syarikat konsesi adalah antara pelan jangka panjang yang diyakini mampu melipatgandakan jumlah pengunjung.

“Namun, tidak bermakna di bawah kendalian kerajaan kurang bagus, sebaliknya penswastaan membuka lebih besar ruang untuk pusat begini diperkukuhkan, seterusnya disenaraikan dalam kalendar pelancongan,” katanya.

Menyingkap sejarah penubuhan memorial peringatan itu, ia direalisasikan sebagai simbolik mengenang ketokohan seniman serba boleh terbabit.

Pustaka Peringatan P Ramlee dibuka secara rasminya pada 22 Mac 1986 di bawah kelolaan Arkib Negara Malaysia, kira-kira 13 tahun selepas P Ramlee meninggal dunia.

Turut dipamerkan adalah nota muzik, surat, keratan akhbar, skrip dan poskad yang dikirimkan kepada keluarga, terutama untuk Saloma.

Selain pameran koleksi, pengunjung juga dihiburkan lagu nyanyian P Ramlee dan Saloma sebagai halwa telinga, selain petikan dialog P Ramlee dalam filem yang dibintanginya.

Antara matlamat awal lain penubuhannya adalah menggalakkan kajian dan penyelidikan dalam aspek seni dan budaya Melayu.

INFO:

Pustaka Peringatan P Ramlee

• Berkeluasan kira-kira 61 meter persegi yang asalnya mempunyai tiga bilik tidur.

• Mempamerkan bahan, maklumat, barangan peribadi dan props filem, sejajar perkembangan seni muzik dan perfileman tanah air bermula era 1950-an hingga awal 1970-an.

• Dibuka dari Selasa hingga Ahad, jam 10 pagi hingga 5.30 petang dan masuk adalah percuma.

• Di Kuala Lumpur, Memorial P Ramlee atau Pustaka Peringatan P Ramlee terletak di Jalan Dedap, Taman P Ramlee (juga dikenali sebagai Taman Furlong, Setapak).

• Satu lagi muzium sama di Pulau Pinang pula dikenali sebagai Rumah P Ramlee yang terletak di Nombor 40A, Lot 2180, Jalan P Ramlee.

• Pembinaan galeri sama oleh individu di Sarawak pula diilhamkan seorang pesara kerajaan yang beralamat di Lebok Dana, Lorong 6B2, Jalan Cenderawasih, Kampung Semerah Padi, Fasa Dua, Kuching.

Berita Harian X