Isnin, 22 April 2019 | 2:30pm
BIARPUN masih muda, Eyra yakin mampu menggalas dengan baik tanggungjawab sebagai isteri. Foto NSTP

Eyra Hazali nikah akhir tahun

KUALA LUMPUR: Pelakon yang popular menerusi drama Mr Grey, Eyra Hazali, 20, mengakui debaran menanti detik disatukan dengan penjaga gol skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli sudah mula terasa.

Mengikut perancangan, Eyra berkata, dia dan Haziq bakal disatukan pada akhir tahun ini, malah tarikh pernikahan mereka juga sudah ditetapkan.

“Tarikh sudah ada, cuma belum masanya untuk saya berkongsi dengan umum. Apa yang dapat saya katakan, kami akan bernikah akhir tahun ini, insya-Allah.

“Saya sudah bersedia melalui alam rumah tangga, biarpun ada yang menganggap saya masih terlalu muda untuk menggalas tanggungjawab besar itu dan kerjaya seni pula baru memuncak.

“Kami juga sudah mula membuat persiapan dan saya bersyukur, keluarga banyak membantu memandangkan saya sibuk dengan penggambaran. Apabila kita berniat baik, insya-Allah akan dipermudahkan,” katanya.


SETAHUN bertunang, Eyra dan Haziq bakal disatukan pada akhir tahun ini. Foto IG Eyra Hazali

Eyra dan Haziq bertunang pada 1 Disember lalu selepas setahun menjalin cinta. Tetap meneruskan kerjaya seni selepas berumah tangga nanti, Eyra juga bersyukur, pembabitannya dalam drama Nur 2 membantu namanya untuk kembali menyerlah.

Membawa watak Suraya dalam drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu, Eyra yang pernah meraih trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Anugerah Sri Angkasa 2010 menerusi telefilem Anak-Anak Lorong berkata, Nur 2 turut membawa perspektif baharu kepada kerjaya lakonannya.

“Ramai yang memberikan positif walaupun watak Suraya baru diperkenalkan. Tidak sangka, penonton suka melihat gandingan saya dengan Atiq Azman.

“Saya gembira menjadi sebahagian daripada Nur 2 kerana drama ini membuatkan penonton kembali melihat bakat saya,” katanya yang sedang melunaskan penggambaran drama 80 episod, Puteri Yang Ditukar.

Berita Harian X